Dosa Besar – Memberi Dan Menerima Rasuah

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

Allah berfirman: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 188)

Maksud dari kalimat, “Janganlah kamu menghulurkan harta kamu kepada hakim”, adalah “jangan kamu merasuah atau menyogok hakim supaya kamu memenangi sesuatu kes yang dibicarakan, sedangkan kamu tahu bahawa hasil keputusan itu tidak halal bagimu”.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sebuah hadith dari Rasulullah s.a.w,

“Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah dalam sesuatu perkara”. [1]

Abdullah bin Amru berkata: “Rasulullah s.a.w melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah”. [2]

Para ulama’ berkata, “Ar-Rasyi adalah orang yang memberi rasuah dan al-murtasyi adalah orang yang menerima rasuah. Laknat akan menimpa orang yang memberi rasuah jika dia bermaksud menyakiti seorang muslim, atau mendapatkan sesuatu yang bukan haknya. Tetapi jika dia memberikan wang rasuah dengan maksud untuk memperolehi haknya atau menolak kezaliman terhadap dirinya, maka dia tidak termasuk orang yang terlaknat. Adapun bagi hakim, rasuah itu adalah haram; sama ada untuk membatalkan suatu hak atau pun mencegah kezaliman”.

Dalam sebuah hadith disebutkan bahawa, “Laknat itu terkena juga ke atas orang yang menjadi perantara kes rasuah”. [3] Ianya sebagaimana pemberi rasuah, jika niatnya baik dia tidak mendapat laknat, tetapi jika niatnya buruk dia pun dilaknat.

Dalam kitab Sunan Abu Daud diriwayatkan dari Abu Umamah al-Bahiliy bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa memberikan “rekomendasi” bagi saudaranya lalu orang itu memberinya hadiah kerana hal tersebut dan dia menerimanya, sesungguhnya dia telah mendatangi satu pintu terbesar dari pintu-pintu riba”. [4]

Abdullah bin Mas’ud berkata, “Adalah “suht” (barang haram) jika kamu menerima pemberian saudara muslimmu atas bantuan yang kamu berikan dalam perkara yang diperlukannya”. [5]

Diceritakankan bahawa Masruq memberitahu Ibnu Ziyad bahawa dia (Ibnu Ziyad) mempunyai suatu tanggungan ke atas seseorang. Ibnu Ziyad menyelesaikan hal itu. Lalu pemilik hak itu memberi Masruq seorang pelayan sebagai hadiah, namun dia menolaknya. Dia berkata: Aku pernah mendengar Ibnu Mas’ud berkata, “Barangsiapa mengembalikan hak seorang muslim lalu orang itu memberinya sesuatu sedikit ataupun buruk, maka itu termasuk ‘suht’.” Orang yang dibantu Masruq itu berkata, “Wahai Abu Abdurrahman, kami menyangka bahawa ‘suht’ itu terbatas pada urusan rasuah sahaja”. Masruq menjawab, “Itu adalah kufur”. (Diriwayatkan oleh at-Thabrani secara mauquf kepadanya).

Kita berlindung kepada Allah darinya. Juga memohon ampunan dan ‘afiyah dari segala bala dan kejahatan.

NOTA KAKI

1. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/387, 388), Al-Tirmizi (1336), Ibnul Jarud (585), Ibnu Hibban (5076), Al-Hakim (4/103), Al-Khathib dalam Tarikhnya (10/254). Hadith ini terdapat di dalam Shahih Al-Jami’ (5093).

2. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/164, 190, 212), Abu Daud (3580), At-Tirmizi (1337), Ibnu Majah (2313), Ath-Thayalisi (2276), Ibnul Jarud (586), Ibnu Hibban (5077), Al-Hakim (4/102). Dan hadith ini adalah hadith hasan.

3. Dalam hadith Abdurrahman bin Auf menggunakan, “Allah melaknat orang yang memakan dan yang memberi makan iaitu memberi rasuah dan yang menerima rasuah. “Asy-Syaikh Al-Abani berkata dalam Al-Irwa’ (8/245) diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Al-Qadha’ dan sanadnya dha’if. Aku katakan, hadith ini diriwayatkan ole Ibu Abi Syaibah (6/549,587), Ath-Thabrani (2/94/1415) dan Al-Baihaqi (5/51) dari Tsauban secara marfu’ dengan lafaz, “Rasulullah melaknat orang yang memberi rasuah, yang menerima rasuah dan perantaranya”. Didha’ifkan oleh Asy-Syaikh dalam Dhai’f Al-Jami’ (4687).

4. Hadith  Hasan. Diriwayatkan oleh Ahmad (5/261), Abu Daud (3524) dan Ath-Thabrani (7853, 7928) dari Abu Umamah dan dihasankan oleh Asy-Syaikh dalam Shahih Al-Jami’ (6316).

5. Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq (8/147 – 148), Ibnu Jarir (6/257), Al-Baihaqi (10/139) dalam Asy-Syu’ab (5116) dan para perawinya tsiqah.

Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar  dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s