[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi 1j 19m 33s] – Dosa Besar – Derhaka Kepada Ibu Bapa – Ust Shamsuddin Abd Rahman
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/eUCMaqmsT7Q ]
DERHAKA KEPADA IBU BAPA
Allah berfirman: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ahh”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”. (Surah Al-Isra’, Ayat 23)
Maksud “berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya” adalah berbakti, mengasihi dan lemah lembut kepada keduanya. Yang dimaksudkan dengan “membentak mereka” adalah bercakap dengan kasar kepada mereka ketika keduanya telah lanjut usianya. Sepatutnya kita berkhidmat kepada keduanya sebagaimana mereka telah memelihara kita. Walau apapun keadaannya, mereka tetap lebih baik dari kita. Tidak mungkin mereka sama dengan kita. Keduanya telah menanggung derita kerana kita dan mengharapkan kita agar terus hidup. Sebaliknya, jika kita menanggung kesusahan disebabkan mereka kita mengharapkan kematiannya. Sekali-kali tidak mungkin akan sama!
Yang dimaksudkan dengan perkataan yang “mulia” adalah perkataan yang lemah-lembut lagi sopan santun.
Allah berfirman: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”. (Al-Isra’, Ayat 24)
“Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. (Surah Luqman, Ayat 14)
Ibnu Abbas berkata, “Ada tiga ayat yang diturunkan oleh Allah beserta tiga gandingannya. Allah tidak akan menerima salah satunya jika tidak disertakan gandingannya. Iaitu, yang pertama, firman Allah, “Taatilah Allah dan taatilah Rasul”. (An-Nur, Ayat 54, Muhammad, Ayat 33 dan At-Taghabun, Ayat 12). Barangsiapa mentaati Allah tanpa mentaati Rasul, ketaatannya tidak diterima. Yang kedua, firman Allah, “Dan dirikanlah solat serta bayarlah zakat!”. (Al-Baqarah, Ayat 43, 83 & 110, An-Nisa’, Ayat 77, Al-Haj, Ayat 78, An Nur, Ayat 56, Al-Mujadalah, Ayat 13 dan Al-Muzzammil, Ayat 20). Barangsiapa solat tetapi tidak menunaikan zakat, solatnya tidak diterima. Dan yang ketiga, firman Allah taala, “Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu!”. Barangsiapa bersyukur kepada Allah tetapi tidak bersyukur kepada kedua orang tuanya, Allah tidak akan menerimanya, sebagaimana sabda Nabi s.a.w, “Keredhaan Allah ada pada keredhaan kedua orang tua. Begitu juga kemurkaan Allah ada pada kemurkaan keduanya”. [1]
Abdullah bin `Amru bin ‘Ash menceritakan: “Seseorang datang meminta izin kepada Nabi s.a.w untuk ikut berjihad bersamanya. Nabi s.a.w bertanya, “Adakah kedua orang tuamu masih hidup?”. “Ya”, jawab orang itu. Baginda s.a.w pun bersabda, “Berjihadlah dengan berbakti kepada keduanya”. [2]
Perhatikanlah, betapa Allah telah mengutamakan “birrul walidain” dan berkhidmat kepada keduanya berbanding dengan jihad (ketika hukumnya fardhu kifayah- pent)!
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Mahukah kamu aku beritahu tentang dosa-dosa besar yang paling besar? Mempersekutukan Allah dan menderhakai kedua orang tua”. [3]
Di sini Allah menggandingkan perangai buruk dan tidak berbakti dan tidak melakukan kebaikan terhadap kedua ibu bapa dengan perbuatan syirik.
Imam al-Bukhari dan Imam Muslim juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tidak akan masuk syurga seorang penderhaka (kepada orang tua), “mannan” (iaitu orang yang berbuat baik kepada seseorang namun menyebut-nyebutnya di hadapan orang ramai) dan peminum arak”. [4]
Nabi s.a.w juga bersabda, “Allah melaknat orang yang menderhakai kedua orang tuanya”. [5]
Hadith Nabi s.a.w, “Allah melaknat orang yang mencela/mencaci ayahnya, Allah melaknat orang yang mencela/mencaci ibunya”. [6]
Juga, “Segala dosa itu seksanya akan ditangguhkan oleh Allah – menurut kehendak-Nya – sehingga hari kiamat kecuali dosa derhaka kepada kedua ibu bapa. Sesungguhnya Allah akan menyegerakan seksanya bagi siapa yang telah melakukannya”. Iaitu seksa di dunia sebelum datangnya seksa akhirat yang pasti ada. [7]
Ka’ab al-Ahbar berkata, “Sesungguhnya Allah menyegerakan kematian seseorang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya untuk menyegerakan seksa baginya. Dan Allah memanjangkan umur seseorang yang berbakti kepada kedua ibu bapanya untuk menambahkan kebaikan baginya. Termasuk amal bakti kepada keduanya adalah memberi nafkah kepada mereka jika mereka memerlukannya.”
Seseorang mengadap Nabi s.a.w dan mengadu, “Wahai Rasulullah, bapaku ingin mengambil seluruh hartaku!”. Maka Baginda s.a.w. lantas bersabda, “Kamu dan seluruh hartamu itu milik ayahmu”. [8]
Ka’ab al-Ahbar pernah ditanya tentang maksud derhaka kepada kedua orang tua. Dia menjawab, “Jika ayah atau ibunya bersumpah, dia tidak menunaikannya. Jika dia diperintah olehnya, dia tidak mentaatinya. Jika keduanya meminta sesuatu darinya, dia tidak memberinya. Dan jika keduanya mempercayainya, dia mengkhianati keduanya”. [9]
Ibnu `Abbas ditanya tentang “ashhaabul a’raaf” (para penghuni A’raf); Siapakah mereka? Apakah A’raf itu? Beliau menjawab. “A’raf adalah sebuah bukit yang terletak di antara syurga dan neraka. Disebut A’raf (yang tinggi) kerana ia menjulang di atas syurga dan neraka. Di sana ada pepohon, buah-buahan, sungai-sungai dan mata air. Orang-orang yang menjadi penghuninya adalah orang-orang yang berangkat berjihad tanpa keredhaan ayah ibu mereka, lalu mereka terbunuh di medan jihad itu. Kematiannya di jalan Allah menghalangnya dari masuk neraka, tetapi kederhakaannya kepada kedua orang tuanya menghalangnya dari masuk syurga. Mereka berada di A’raf sampai nanti Allah memutuskan perkara mereka”. [10]
Dalam “Shahihain” (Sahih al-Bukhari dan Muslim) disebutkan bahawa ada seorang mengadap Rasulullah s.a.w dan bertanya, “Wahai Rasulullah, Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku pergauli dengan baik?”. “Ibumu”, Jawab Rasul. Orang itu bertanya lagi, “Selepas itu?”. “Ibumu”, jawab Baginda kembali. Orang itu bertanya lagi, “Dan selepas itu?”, “Ibumu” jawab Rasul. “Selepas itu siapa lagi”, tanya orang itu lagi. Maka Rasul pun menjawab, “Ayahmu, kemudian saudara-saudaramu yang terdekat, begitulah seterusnya”. [11]
Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya berbakti kepada ibu sebanyak tiga kali sedangkan kepada ayah sekali sahaja. Semua ini kerana perhatian dan kasih sayang seorang ibu jauh lebih besar daripada seorang ayah. Belum dikira dengan penderitaannya semasa mengandung, kesakitan semasa kelahiran, menyusukan anak dan berjaga sepanjang malam.
Suatu ketika Ibnu Umar melihat seorang laki-laki sedang menggendong ibunya, membawanya bertawaf mengelilingi Ka’bah. Orang itu bertanya, “Wahai Ibnu Umar, adakah menurut anda aku ini sudah dapat membalas jasa ibuku?” . “Tidak. Bahkah tidak cukup pun untuk membalas satu derita kesakitan tatkala melahirkanmu. Tapi kamu sudah berbuat baik. Semoga Allah membalas sesuatu yang sedikit itu dengan pahala yang banyak”, jawabnya. [12]
Seseorang menemui Abu Darda’ mengadu, “Wahai Abu Darda’ aku telah berkahwin dengan seorang wanita, tetapi ibuku menyuruhku untuk menceraikannya”. Mendengar hal itu Abu Darda’ menjawab, “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Orang tua itu pintu syurga yang paling tengah. Jika kamu mahu kamu boleh menghilangkan pintu itu atau menjaganya”. [13]
Nabi s.a.w bersabda:
“Ada tiga doa yang pasti akan dikabulkan, doa orang yang dizalimi, doa orang musafir dan doa orang tua untuk anaknya”. [14]
“Khalaf (saudara perempuan ibu) itu setaraf dengan ibu”. [15]
Iaitu wajib berbakti kepadanya, memuliakannya, menyambung hubungan silaturrahim dengannya dan berbuat baik kepadanya”.
Wahb bin Munabbih menceritakan, “Sesungguhnya Allah mewahyukan kepada Musa, Hai Musa, hormatilah ibu bapamu, barangsiapa menghormati kedua orang tuanya nescaya Aku panjangkan umurnya dan Aku kurniakan seorang anak yang menghormatinya. Sebaliknya, barangsiapa derhaka kepada kedua orang tuanya nescaya Aku pendekkan umurnya dan Aku berikan seorang anak yang derhaka kepadanya”.
Abu Bakar bin Abi Maryam berkata, “Aku pernah membaca di dalam Taurat, sesiapa memukul ayahnya hukumannya dibunuh”.
Wahb berkata, “Aku telah membaca di dalam Taurat, barangsiapa menampar orang tuanya hukumannya direjam”.
Umar bin Murrah al-Juhanniy meriwayatkan, seseorang mengadap Rasulullah s.a.w dan bertanya, “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku telah mengerjakan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, membayar zakat, dan berhaji ke Baitullah? Apa yang dijanjikan untukku?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Barangsiapa menunaikan semuanya itu nescaya ia akan bersama dengan para nabi, para shiddiqin, para syuhada’ dan para shalihin, kecuali jika ia derhaka kepada ibu bapa”. [16]
Baginda s.a.w juga bersabda, “Allah melaknat orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya”. [17]
Diriwayatkan bahawa orang yang mencela kedua orang tuanya di alam kubur nanti akan dihujani batu-batan sebanyak titisan air yang turun dari langit ke bumi.
Diriwayatkan juga, apabila seseorang yang derhaka kepada kedua orang tuanya dikuburkan, kuburnya akan menghimpitnya sehingga tulang-belulangnya bercerai-berai.
Dan juga diriwayatkan bahawa manusia yang paling berat azabnya pada hari kiamat nanti ada tiga golongan; orang musyrik, penzina dan orang yang derhaka kepada ibu bapa.
Bisyr berkata, “Seorang yang menghampiri ibunya untuk mendengar percakapannya lebih utama dari pada orang yang menghunuskan pedangnya di jalan Allah. Memandangnya adalah lebih utama daripada memandang apa-apa pun yang lain”.
Sepasang suami isteri yang bercerai mengadukan masalah siapakah yang berhak untuk membawa anak mereka kepada Rasulullah s.a.w. Si suami berkata, “Wahai Rasulullah, dia adalah anakku yang keluar dari tulang sumsumku”. Si isteri berkata, “Wahai Rasulullah, dia telah membawanya dalam keadaan ringan dan mengeluarkannya dengan kesenangan. Sedangkan aku, membawanya dalam keadaan berat dan mengeluarkannya dengan susah payah. Dan lagi, aku menyusuinya selama dua tahun”. Maka Rasulullah s.a.w memutuskan bahawa anak kecil itu dibawa ibunya. [18]
Nasihat Tentang Berbakti Kepada Kedua Orang Tua
Wahai orang yang mensia-siakan hak yang paling besar, yang enggan berbakti kepada kedua orang tua, yang derhaka, yang melupakan salah satu kewajiban, yang lalai dari sesuatu yang ada di hadapan, sesungguhnya berbakti kepada kedua orang tua itu adalah hutang bagimu. Sayang sekali kamu membayarnya dengan cara yang tidak baik, penuh noda aib. Kamu sendiri sibuk mencari syurga, padahal ianya berada di bawah telapak kaki ibumu. Ibumu yang telah mengandungmu selama sembilan bulan yang seumpama sembilan kali menunaikan haji. Dia menderita dan menyabung nyawa semasa melahirkanmu. Dia yang telah menyusukanmu, menahan mengantuk keranamu, memandikanmu dengan tangannya yang lembut, dan selalu mendahulukanmu dalam makan-minum. Pelukannya lembut untukmu. Dia telah mencurahkan sepenuh kasih sayang kepadamu, jika kamu sakit atau menderita pastinya dia berduka, bersedih dan menangis. Dia sanggup menghabiskan harta untuk mengubat penyakitmu. Sekiranya diberi pilihan untuk mati keranamu atau hidup tanpamu, pasti dia akan memilih mati. Bagaimana burukpun akhlak engkau terhadapnya dia tetap memohon taufiq untukmu dalam setiap doanya.
Ketika dia diancam bahaya, dan dia memerlukanmu, kamu menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak berharga. Ketika kamu kenyang dengan makanan dan minuman, dia dalam keadaan lapar dan dahaga. Kamu selalu mendahulukan keluarga dan anak-anakmu daripada berbuat baik kepadanya. Kamu telah melupakan semua usaha dan penat lelahnya. Urusannya kamu anggap sangat berat, padahal sebenarnya amat mudah. Kamu memulau dan mengasingkannya, padahal dia tidak mempunyai orang yang boleh menolongnya kecuali kamu. Ingatlah, Penolongmu (Allah) telah melarangmu dari mengucapkan kata-kata yang menyakitkannya dan menegurmu dengan teguran yang lembut, di dunia ini lagi, anak-anakmu akan menderhakaimu, dan di akhirat nanti kamu akan disisihkan jauh dari Tuhan semesta alam. Dia berkata kepadamu, mengingatkanmu:
“Azab yang demikian ini ialah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya”. (Surah Al-Haj, Ayat 10)
Hak ibu tak terhitung andai kau tahu itu pun kecil bagi dirinya.
Berapa malam dilaluinya dengan segala.
Rintihan dan keluhan dari bibirmu.
Melahirkanmu sungguh beratnya hati terbang begitu terasa.
Tangan lembutnya menepiskan segala aral dari dirimu.
Pengakuannya menghantarkan semua mimpi-mimpi indahmu.
Oleh keluh adamu rela ia gadaikan diri.
Pun rela kau hisap seluruh sari.
Kadang lapar menjengah tetapi bekalannya untukmu.
Demi cinta dan kasih untukmu, si kecil manja.
Sungguh celaka si berakal, tetapi nafsunya budak.
Pula si buta hati, tetapi celik matanya.
Apapun, berharaplah keluasan doanya.
Kerana kau benar-benar memerlukannya.
Kita memohon kepda Allah semoga membimbing kita untuk mendapat keredhaan-Nya dan menjauhkan kita dari sikap derhaka kepadanya. Sesungguhnya Dia Maha Pemurah, Maha Mulia, Maha Penyayang, lagi Maha Pengasih.
NOTA KAKI
1. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (3424), Al-Bukhari dalam “Al-Adab A-Mufrad” (2), Ibnu Hibban (429), Al-Hakim (4/151) dan Al-Baghawi (3424). Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Ash-Shahihah” (515)
2. Hadith Sahih. Hadith diriwayatkan oleh Al-Bukhari (3004) Muslim (2549), An-Nasa’ie (6/10) dan Ahmad (2/165) dari Ibnu Amru.
3. Telah disebutkan takhrijnya.
4. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Ahmad (1/201), Ad-Darimi (2094), Al-Bukhari dalam kitab “At-Taarikh Ash-Shaghiir” (1/262), dari Ibnu Hibban (3384), dari Abdullah bin Amru. Asy-Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Ash-Shahihah” (670) dan “Sahih Al-Jami’ “(7676).
5. Hadith diriwayatkan oleh Al-Hakim (4/356), Ath-Thabrani dalam “Al-Ausath” (8497) dengan lafaz, “La’anallahu sab’atan min khalqihi min fauqi sab’i samawat..mal’unun man `aqqa waalidaihi (Allah melaknat tujuh golongan makhluknya-Nya dari atas langit yang tujuh….celakalah siapa yang menderhakai kedua orang tuanya)”. Sanadnya dha’if. Dan, diriwayatkan oleh Muslim (1978), An-Nasa’ie (7/232), Al-Hakim (4/153) dan Ahmad (1/108); dari Ali bin Abi Thalib dengan lafaz, “La’anallahu man la’ana walidaihi (Allah melaknat orang yang melaknat kedua orang tuanya” – Al-Hadith.
6. Hadith diriwayatkan oleh Ahmad (1/309), Ath-Thabrani (11546), Ibnu Hibban (4417), dan Al-Hakim (4/356) dengan lafaz, “La’anallahu man zabaha li ghairllah (Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain kepada Allah), Hadith dari Ibnu Abbas dan ianya sahih.
7. Diriwayatkan oleh Ath-Thayalisi (880) Ahmad (5/36), Al-Bukhari dalam “Al-Adab Al-Mufrad” (29.67), Abu Daud (4902), At-Tirmizi (2511), Ibnu Majah (4211), Al-Hakim (2/162), Ibnu Hibban (455, 456), dan Al-Baihaqi (10/234) dari Abu Bakrah, dengan lafaz “Ma min zanbin ajdaru (ahra) an yu’ajjilallahu li shahibihil-`uqubata fid-dunya (tidak ada dosa yang lebih patut untuk Allah segerakan seksa bagi pelakunya d idunia) – Al-hadith. Asy-Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Sahih Al-Adab Al-Mufrad”, sedangkan lafaz yang disebutkan oleh penulis dengan lafaz seumpamanya telah dikeluarkan oleh Al-Hakim (4/156) dengan mensahihkannya. Sedangkan Az-Zahabi memberi komen bahawa dalam sanadnya terdapat Bakkar Bin Abdul Aziz, seorang yang dhaif.
8. Hadith diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2291), Ath-Thahawi dalam “Musykil” (12/230), Ath-Thabrani dalam “Al-Mu’jam Al-Ausath” (3534, 6570), dan dalam “Ash-Shaghir” (1/154): dari Jabir. Dan diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam “Al-Ausath” (7088), Al-Uqaili (2/234) dan Al-Bazzar (2/84); dari Samurah bin Jundab. Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Ausath (810) dari Abu Bakrah. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/214), Abu Daud (3530), Ibnu Majah (2292) dan Ibnul Jarud (995); dari Ibnu Amru. Asy-Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam “Al-Irwa’ ” (838).
9. Diriwayatkan oleh Ibnu Wahb dalam “Jami’ ” nya (89) Abdur Razzak (11/137), Baihaqi dalam “Asy-Syu’ab” (7894) dan Abu Na’im (6/14) dengan isnad yang sahih.
10. Diriwayatkan oleh Ibnu Manshur dari Abu Masyi’ar dari Yahya bin Syibli dan Yahya bin Abdurrahman Al-Madani dari ayahnya secara marfu’. Dan diriwayatkan oleh Ibnu Marduwaih, Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim dari beberapa jalur periwayatan dari Abu Masy’ar. Dan diriwayatkan secara marfu’, diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari hadith Ibnu Abbas dan Jabir. Ibnu Katsir menyebutnya dalam tafsirnya, tetapi beliau tawaqquf dalam kesahihan marfu’nya hadith ini dan beliau berkata, “Yang paling sesuai hadith ini adalah mauquf”. As-Suyuthi berkata dalam kitab “Ad-Durr” (3/162, 163), semua riwayat dalam hal ini ada yang marfu’ dan mauquf, akan tetapi semua itu tidak terlepas dari perbincangan ulama’ (yang mempertikaikan kesahihannya)”.
11. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Muslim (2548), Ibnu Majah (3658) dan Ahmad (2/391); dari Abu Hurairah.
12. Hadith sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam “Al-Adab Al-Mufrad” (11) tetapi dengan lafaz “laa wa laa bizafratin waahidatin” dan sanadnya sahih.
13. Hadith sahih: Diriwayatkan oleh Al-Humaidi (395), Ibnu Abi Syaibah (8/540), Ahmad (5/186,197), Ath-Thayalisi (981), At-Tirmidzi (1900), Ibnu Majah (2089), Ath-Thahawi dalam “Al-Musykil” (2/158), Ibnu Hibban (425), Al-Hakim (4/125) dan disahihkan oleh Asy-Shaikh.
14. Hadith Hasan. Diriwayatkan oeh Al-Bukhari dalam “Al-Adab Al-Mufrad” (32.481), Abu Daud (1536), At-Tirmizi (1905, 3448), Ibnu Majah (3862); Ath-Thayalisi (2517), Ahmad (2/258, 348), dan Ibnu Hibban (2699) dari Abu Hurairah. Dan dihasankan oleh Asy-Syaikh dalam “Al-Irwa’ ” (596) dan “Ash-Shahih” (3031). Demikian pula dari Anas, lihat semula “Ash-shahih” (3032) dan “Ash-Shahihah” (1797)
15. Hadith Sahih. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (1844, 2699 dan 4251), Ahmad (4/298), dan Ibnu Hibban (4873) dengan lafaz yang panjang dari Al-Barra.
16. Isnadnya sahih: Diriwayatkan oleh Ahmad, At-Thabrani, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban, Al-Munziri menyebutnya dalam “At-Targhib” (3/221:11).
17. Takhrijnya telah disebutkan sebelum ini.
18. Diriwayatkan oleh Ahmad (2/182), Abu Daud (2276), Ad-Daruquthni (3/305) Al-Hakim (2/207) dan dari Al-Baihaqi (8/504) Dan dihasankan oleh Asy-Syaikh dalam “Al-irwa’” (2187) dari Umar r.a.
· Nota: Saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar dari buku terjemahan “Al-Kabair (Dosa-dosa Besar)’ karangan Imam Az-Zahabi. Buku terjemahan asal boleh dicapai di sini- https://drive.google.com/file/d/0B0r1wFGeMOw5eDdpZjM4a2YyRG8/edit