[Muat Turun Artikel – Format PDF]
Perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian.
Bahagian yang pertama – Iktikad (Kepercayaan):
1) Iktiqad (kepercayaan) yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam, iktiqad bahawa alam ini “qadim” (tidak ada permulaan), tidak ada penciptanya, atau alam ini kekal selama-lamanya.
2) Iktiqad bahawa pencipta alam (iaitu Allah) ini baharu, atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baharu, atau pun mempunyai anak isteri, atau berbilang-bilang atau akan mati.
3) Iktiqad menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w, atau iktiqad bahawa Nabi Muhammad yang sebenar ialah Muhammad yang “batin” bukan Muhammad yang “zahir”, atau iktiqad bahawa kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, hanya untuk orang-orang Arab sahaja, atau iktiqad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah hukum-hukum lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman, atau iktiqad mengingkari mana-mana Rasul Tuhan, atau iktiqad bahawa ada lagi Nabi dan Rasul yang lain yang diutus oleh Allah membawa syariat sesudah Nabi Muhammad s.a.w, (iaitu iktiqad bahawa Nabi Muhammad bukan penyudah segala nabi, “Khatam an-Nabiyyin”).
4) – Iktiqad bahawa tidak ada dosa dan pahala, tidak ada Syurga dan Neraka, tidak ada bangkit hidup semula sesudah mati, tidak ada hari kiamat dan segala perkara yang berlaku padanya.
5) Iktiqad bahawa roh orang-orang mati berpindah-pindah dari satu tubuh ke satu tubuh yang lain (reinkarnasi).
6) Iktiqad agama kafir (selain dari Islam) lebih baik dari agama Islam.
7) Perasaan ragu-ragu terhadap mana-mana satu dari perkara-perkara yang tersebut di atas.
8) Berbalik-balik hati di antara hendak menjadi kafir atau tidak, atau bercita-cita hendak menjadi kafir pada masa yang akan datang.
Bahagian yang kedua – Perkataan:
Perkataan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek-ngejek dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, Malaikat-malaikat-Nya, Rasul-rasul-Nya, Kitab-kitab-Nya, Ayat-ayat-Nya (al-Quran) dan Hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh Rasul-Nya. Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sepakat alim ulama’ menthabitkannya (mengesahkannya) atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama. Misalnya seperti kata-kata mengenai mana-mana hukum Islam:
1) “Hukum apa ini?”
2) “Hukum ini sudah lapuk”
3) “Pada zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana menghalang kemajuan”
4) “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus”
5) “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?”
6) “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?”
7) “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?”
8) “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tak akan maju”
9) Berkata: “Perbuatan yang demikian tidak beradab” – apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w., selepas makan, menjilat sisa makanan di jarinya.
10) Berkata: “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat” – apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.
11) Berkata: “Si anu dah mula menyalak” – semasa ia mendengar azan.
12) Membaca ayat-ayat suci, hadith-hadith Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.
13) Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadith Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Muslim. Hadith tersebut bermaksud, “Sesiapa memanggil orang lain dengan “kafir” atau “musuh Allah”, sedangkan dia (yang dipanggil) tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepada (penuduh)”.
14) Kata-kata menggantungkan jadi kafir dengan sesuatu keadaan. Misalnya:
(a) Seseorang dituduh melakukan sesuatu perkara, lalu ia berkata: “Kalau aku lakukan perkara itu jadilah aku kafir”, sekiranya ia berdusta, yakni ia sebenarnya telah melakukan perkara yang dituduhkan kepadanya itu, maka jadilah ia kafir, kecuali kata-kata itu dituturkan dengan tujuan hanya hendak melepaskan diri dari tuduhan itu sahaja, bukan dengan tujuan redhanya menjadi kafir. Sungguhpun demikian ia telah melakukan dosa besar dengan kata-kata yang tersebut, dan sekiranya ia benar, yakni ia tidak melakukan perkara yang dituduh orang kepadanya, maka dia tidak menjadi kafir, tetapi dia berdosa kerana perkataannya itu memberi erti tidak tetap keazamannya berpegang teguh kepada agama Islam.
(b) Seseorang diingatkan supaya jangan berzina umpamanya, lalu dia berkata: “Kalau aku berzina kafirlah aku”. Sekiranya kata-kata itu dituturkan dengan tujuan tidak redha mencemarkan dirinya dengan perbuatan zina seperti tidak redhanya menjerumuskan dirinya menjadi kafir, dia tidak menjadi kafir, tetapi dia berdosa dengan menggunakan perkataannya itu dengan alasan yang tersebut; dan sekiranya kata-kata itu dituturkan dengan tujuan redha menjadi kafir kalau dia lakukan perbuatan zina maka dia menjadi kafir dengan kata-katanya yang tersebut, kerana apabila seseorang Islam redhakan kufur, maka dia menjadi kafir (Murtad), Wal Iyazubillah. Hukum yang tersebut terkandung dalam hadith Thabit bin al-Dhahak, yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ibn Majah.
Bahagian yang ketiga- Pebuatan:
Perbuatan, iaitu:
(1) Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walau pun tidak dengan niat untuk menghormatinya sama seperti Tuhan, atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai had sekurang-kurangnya ruku’ sembahyang dengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah. Kalau tidak dengan tujuan menghormati dan mengagungkan dia tidak menjadi murtad, tetapi hukumnya tetap haram.
(2) Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.
(3) Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah Azza wa Jalla.
(4) Meletakkan ayat-ayat suci, hadith-hadith Nabi, nama-nama Tuhan, Rasul-rasul-Nya, Malaikat-Nya dan Ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya; kalau tidak dengan tujuan yang tersebut maka hukumnya tetap haram walaupun tidak menjadi murtad. Demikian juga haram menggunakan kertas-kertas yang tertulis padanya Ayat-ayat suci, Hadith-hadith Nabi dan Nama-nama Allah serta ilmu agama untuk membungkus, mengesat serta menyapu sesuatu; tetapi kalau perbuatan yang dilakukan itu dengan tujuan menghina atau mempersenda-sendakannya maka orang yang melakukan itu menjadi murtad.
(5) Meninggalkan sembahyang. Orang yang meninggalkan sembahyang fardhu, jika dia menolak tentang wajibnya, maka dia kafir (murtad, keluar dari agama Islam), kerana ia mengingkari satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu adalah satu perkara yang wajib di atas tiap-tiap orang Islam, selagi akalnya sihat. Kalau ditinggalkan dengan sebab malas sahaja, pada hal ia i’tiqadkan wajibnya, maka mengenai orang ini alim ulama’ berselisih kepada tiga pendapat: Pertama – Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi ia menjadi fasik yang wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya kembali mengerjakan sembahyang, dan sekiranya ia tidak mahu bertaubat maka kenalah dilakukan ke atasnya “Hukuman Had” iaitu dibunuh dengan pedang. Kedua – Orang itu jadi kafir juga, sama dengan keadaan orang yang mengingkari wajibnya. Ketiga – Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, tapi di “Ta’zir” (dihukum) dengan dipenjarakan sehingga ia mengerjakan sembahyang. Ketiga-tiga pendapat yang tersebut serta alasan-alasannya diterangkan oleh al-Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim, mengenai hadith Jabir yang menyatakan keburukan orang yang meninggalkan sembahyang.
Perkara-perkara yang diterangkan di atas itu adalah sebahagian dari contoh-contoh yang disebutkan oleh alim ulama’ bahawa orang yang melakukannya menjadi murtad. Mereka menetapkan hukuman yang tersebut dengan berdasarkan: Ayat 40 Surah Yusuf, ayat 65 Surah al-Taubah, Ayat 37 Surah Fussilat dan ayat-ayat Surah al-Kafirun serta hadith Mu’az bin Jabal yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, dan hadith Qais bin Sa’ad yang diriwayatkan oleh Abu Daud. Maksud kedua-dua hadith itu: Bahawa Rasulullah s.a.w melarang mereka sujud kepada Baginda s.a.w serta menerangkan bahawa tidak harus seseorang sujud kepada yang lain dari Allah.
Dengan keterangan yang tersebut hendaklah diingat bahawa seseorang yang cintakan keselamatan dirinya dan agamanya, jangan sekali-kali mendekati, apa lagi melakukan, sebarang perkara yang hukumnya berkisar di antara jadi murtad dan berdosa besar. Semoga Allah selamatkan kita dengan taufik dan hidayat-Nya.
Cara-cara masuk Islam: Mana-mana orang yang hendak masuk Islam, sama ada orang murtad atau orang kafir asli, hendaklah ia menyempurnakan perkara-perkara yang berikut:
(1) Melafazkan dua kalimah syahadat: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ Memadai juga menyebut erti “dua kalimah syahadat” itu dengan bahasa sendiri serta mengakui maksud kandungannya. Memadai menyebut yang demikian bukan sahaja kepada orang yang tidak mengetahui Bahasa Arab bahkan juga kepada orang yang mengetahui bahasa itu. Juga memadai dengan menyatakan pengakuan hatinya bahawa: Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa dan Nabi Muhammad s.a.w, ialah utusan Allah.
(2) Kepada orang kafir yang berfahaman bahawa kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, itu hanya untuk bangsa Arab sahaja – hendaklah ditambah pengakuannya bahawa: Kerasulan Baginda s.a.w, umum kepada umat manusia seluruhnya.
(3) Kepada orang yang menjadi murtad dengan mana-mana satu sebab yang diterangkan dahulu, hendaklah ditambah pengakuannya: Bahawa dia bertaubat daripada melakukan perkara yang dengan sebabnya dia telah menjadi murtad. Semoga Allah menjauhkan kita dari segala apa jua yang merosakkan iman dan Islam, dengan mengurniakan kita taufik dan hidayat ke jalan keselamatan dan kebahagiaan.
Dipetik dan disaring dari buku: Mastika Hadith Rasulullah s.a.w Jilid- 1, Bab – 6 Tajuk – WAJIB BERIMAN KEPADA QADAR TAQDIR Fasal Ketiga : Perkara-perkara Yang Menyebabkan Rosaknya Iman Dan Islam Atau Yang Menyebabkan Orang Yang Melakukannya Menjadi Murtad.