Muqaddimah

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 1j 3m 58s] – Syarah Kitab Fiqh Akbar (Imam Abu Hanifah) – Pengenalan – Us Mohd Hanief Awang Yahaya

MUQADDIMAH

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Asas tauhid [1] dan perkara yang sah untuk diasaskan iktikad [2] di atasnya ialah seseorang itu wajib mengucapkan: Saya beriman [3] dengan Allah [4], para malaikat-Nya [5], kitab-kitab-Nya [6], Rasul-rasul-Nya [7], kebangkitan selepas kematian [8], ketentuan baik dan buruk [9] daripada Allah, Perhitungan, Timbangan, syurga dan neraka. Semuanya itu hak. Allah s.w.t. itu satu [10], bukan dari segi bilangan [11] tetapi dari segi tiada sekutu bagi-Nya, tiada melahirkan anak [12], tiada dilahirkan dan Dia tidak menyerupai dengan mana-mana makhluk dan tiada satupun daripada makhluk yang menyerupai-Nya [13].

NOTA KAKI

[1] Tauhid bermaksud mengesakan Allah s.w.t pada zat-Nya, sifat-Nya dan perbuatan-Nya. Yakni hendaklah seseorang itu membersihkan dirinya dari semua bentuk kesyirikan dan beri’tikad bahawa Allah s.w.t. Esa, dan tidak ada sekutu bagi-Nya, tidak pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya, nama-nama-Nya dan hukum-hukum-Nya. Dia-lah yang menciptakan dan mentadbir alam ini, mengatur urusan makhluk-makhluk-Nya.

[2] Iktikad bermaksud mengikat simpulan dengan kukuh kemudian ia dipakaikan bagi menunjukkan pegangan hati yang kuat dan kukuh seperti simpulan yang kemas yang tidak akan terurai. Aqidah menjadi kata istilah kepada anutan dan kepercayaan seseorang kepada Tuhannya dan urusan agama yang diyakininya.

[3] Iman bermaksud membenarkan dengan hati dengan penuh kepatuhan tanpa sebarang pengingkaran dan bantahan, tiada syak dan syubhat. Ini dengan cara membenarkan dengan hati dan melafazkan dengan lidah dengan penuh kerelaan dan pilihan bukan terpaksa dan terdesak seperti yang berlaku kepada Fir’aun. (Surah Yunus: 90-91)

[4] Beriman dengan Allah s.w.t. merangkumi:Beriktiqad bahawa tidak ada yang menciptakan alam ini, mentadbir, mengaturkannya, memberikan rezeki kepada semua penghuninya, mendatangkan manfaat dan menyebabkan kemudaratan melainkan Allah s.w.t.

a) Beriktiqad bahawa tidak ada yang menciptakan alam ini, mentadbir, mengaturkannya, memberi rezeki kepada semua penghuninya, mendatangkan manfaat dan menyebabkan kemudaratan melainkan Allah.

b) Beriktiqad bahawa tidak ada yang layak dan berhak disembah melainkan Allah s.w.t.

c) Beriktiqad bahawa Allah s.w.t. memiliki sifat-sifat keagungan dan kesempurnaan yang layak dengan-Nya, tidak menyerupai makhluk dalam mana-mana sifat-Nya. Firman Allah taala, mafhumnya: “Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya; Adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya? (Surah Maryam, Ayat 65)

[5] Mereka tidak bersifat dengan sifat-sifat manusia seperti makan, minum dan berkeluarga. Mereka diciptakan dengan fitrah ketaatan dan tidak melakukan ma’siat. Mereka sentiasa bertasbih kepada Allah. Beriman dengan mana-mana malaikat yang disebutkan dalam al-Quran dan hadith dengan nama-nama atau dengan tugas-tugas mereka.

[6] Bahawa Allah s.w.t. menurunkan kitab-kitab kepada para rasul sebagai kalam dan wahyu-Nya bukan kalam manusia. Wajib kepada kita beriman dengan kitab-kitab yang disebutkan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Ia menuntut kita supaya beriman dengan kandungan kitab-kitab yang diturunkan Allah dan bertindak mengikut tuntutan kitab.

[7] Beriman dengan para rasul bererti membenarkan mereka dalam perkara yang disampaikan oleh mereka dari pihak Allah s.w.t. dan mereka sesungguhnya telah menerangkan apa yang diwajibkan kepada mereka untuk menyampaikannya. Mereka merupakan rasul pilihan Allah s.w.t. Firmannya, mafhumnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap umat ada Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu)”. (Surah al-Nahl, Ayat 36)

Firmannya lagi, mafhumnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum mu; di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah; (maka janganlah diingkari apa yang dibawa oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan azab) diputuskan hukum dengan adil; pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah”. (Surah Ghafir, Ayat 78)

[8] Maksudnya ialah beriman bahawa ada kehidupan lain yang abadi selepas daripada kehidupan dunia ini. Segala khabar yang diberitakan oleh Allah s.w.t. selepas kematian sehingga ahli syurga memasuki syurga dan ahli neraka memasuki neraka hendaklah diimani dan diyakini. Hari Kiamat merupakan akhir kepada dunia dan permulaan kepada kehidupan yang kekal abadi yang dijadikan untuk perhitungan dan pembalasan terhadap segala amalan di dunia.

[9] Maksud beriman dengan qada’ dan qadar ialah beri’tiqad bahawa setiap apa yang ada di alam ini yang terdiri daripada kebaikan, kejahatan, mudarat, manfaat sehinggalah perbuatan manusia samada iman, kekufuran, taat, maksiat, hidayah atau sesat semuanya dengan qada’ dan qadar Allah s.w.t., iradah-Nya, ciptaan-Nya dan kekuasaan-Nya. Walaupun begitu Allah s.w.t. hanya mengasihi dan redha kepada iman, taat dan kebaikan akan tetapi Dia tidak redha kepada kekufuran, maksiat dan kejahatan. Makna qadar ialah ta’alluq ilmu dan kehendak Allah s.w.t. dengan sekalian makhluk sejak azali sebelum kewujudan mereka lagi. (lihat ‘Ubaydullah al-Mubarakpuri, Mir’ah al-Mafatih Sharh Mishkah al-Masabih, jil. 1, hal. 158)

[10] Dalilnya ialah, ayat al-Quran, mafhumnya: “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain dari Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Baqarah, Ayat 163). Wajib mentauhidkan Allah s.w.t, mengesakan Allah, beriman bahawa Allah itu tuhan yang satu tiada yang lain.

[11] Jika satu dari segi bilangan maka satu sebagai permulaan kepada yang lain selepasnya dan ini mustahil bagi Allah s.w.t. Dikatakan juga satu itu terdiri daripada dua separuh. Jika demikian bererti Dia mempunyai juzu’ yang membentuk-Nya dan ini juga mustahil bagi Allah s.w.t. Maksud Imam Abu Hanifah ialah mensabitkan bahawa ketuhanan itu bagi Allah sahaja dan menafikannya bagi yang lain. Tiada sesuatupun layak dipanggil sebagai tuhan kecuali Allah s.w.t.

[12] Menafikan dan membatalkan berbilang tuhan dengan cara “tawallud” (beranak dan diperanakkan). Sesuatu yang dilahirkan itu menyamai dengan yang melahirkan. Dan Allah s.w.t. maha suci dari mempunyai sesuatu yang sama dengan-Nya.

[13] Dalil, ayat al-Quran yang mafhumnya: “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”. (Surah al-Shura, Ayat 11). Tidak ada yang menyerupai dan menyamai Allah, baik dari segi zat, sifat mahupun perbuatan. Dia maha sempurna dengan sifat-sifat-Nya.

One thought on “Muqaddimah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s