[Muat Turun Artikel – Format PDF]
[ Tonton video “Percaya Kepada Allah (Secara Ringkas) – Maulana Asri Yusoff” melalui saluran YouTube – https://youtu.be/cd5ijT5t5lY ]
[ Tonton video “Rukun Iman Pertama BERIMAN DENGAN ALLAH – Dr Abd Basit Abdul Rahman” melalui saluran YouTube https://youtu.be/7tFVZXbYkOA ]
BERIMAN KEPADA ALLAH
A – TAHKIK (PERLAKSANAAN) NYA
Beriman kepada Allah akan terlaksana dengan melakukan perkara-perkara berikut:
1. Iktiqad (Percaya) Bahawa Alam Ini Mempunyai Pencipta Yang Satu
Iktiqad (percaya) bahawa alam ini mempunyai Pencipta yang satu, Esa dalam penciptaan-Nya, kerajaan-Nya, pentadbiran-Nya, mengatur keadaannya, memberi rezeki, kuasa, melakukan sesuatu, menghidupkan, mematikan, memberi manfaat dan mudharat yang tiada tuhan selain dari-Nya.
Melakukan segala perkara dengan keesaan-Nya dan menghukum dengan hukuman yang dikehendaki-Nya, memuliakan sesiapa yang dikehendaki dan menghina sesiapa yang dikehendaki-Nya. Di tangan-Nya kekuasaan langit dan bumi dan Dia berkuasa ke atas semua perkara, mengetahui semua perkara, terkaya (tidak memerlukan) dari semua makhluk, bagi-Nya segala urusan, di tangan-Nya segala kebaikan, tidak ada sekutu dalam perbuatan-Nya, tidak ada yang boleh mengatasi semua urusan-Nya bahkan semua makhluk termasuk malaikat, manusia dan jin adalah hamba-Nya, tidak ada yang mampu keluar dari kerajaan, kekuasaan dan kehendak-Nya Yang Maha Suci.
Perbuatan-Nya tidak terhad, tidak terbilang banyaknya. Semua keistimewaan tersebut adalah kepunyaan Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya, tidak berhak seorang pun selain daripada-Nya dan tidak harus menisbahkan atau mengisbatkan sesuatu darinya kepada pencipta yang lain daripada Allah ‘Azza Wajalla.
Firman Allah Taala: “Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) seperti bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu”. (Surah Al-Baqarah, ayat 21-22).
Firman Allah Taala: “Katakanlah (wahai Muhammad), wahai Tuhan Yang Mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Dan Engkaulah yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 26).
Firman Allah Taala: “Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di atas muka bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam kitab (“Lauh Mahfuz”) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)”. (Surah Hud, ayat 6).
Firman Allah Taala: “Ingatlah, bagi Allah jualah segala urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang menciptakan dan mentadbirkan sekalian alam”. (Surah Al-A’raf, ayat 54).
2. Iktiqad Dengan Nama-Nama Yang Indah Dan Sifat-Sifat Yang Sempurna
Beriktiqad (percaya) dengan keesaan Allah dengan nama-nama yang seindah-indahnya dan sesempurna sifat-sifat yang diperkenalkan kepada hamba-hamba-Nya yang sebahagiannya terdapat dalam kitab-Nya (Al-Quran) atau Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Firman Allah Taala: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) oleh itu serukanlah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu dan tinggalkanlah orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan daripada perbuatan yang telah mereka kerjakan”. (Surah Al-A’raf, ayat 180).
Sabda Nabi s.a.w:
إن لله تسعة وتسعين اسماً، من أحصاها دخل الجنة، وهو وتر يحب الوتر [متفق عليه]
“Sesungguhnya bagi Allah 99 nama. Sesiapa yang menghitungnya masuk syurga. Dan Allah adalah “witir” (tunggal) dan Dia suka kepada witir (bilangan ganjil)”. (Muttafaq ‘Alaih: Al-Bukhari dan Muslim).
a) Iktiqad (kepercayaan) ini tertegak di atas dua asas yang utama:
i) Sesungguhnya Allah mempunyai nama-nama yang indah dan sifat-sifat yang tinggi yang menunjukkan atas sifat-sifat yang sempurna, tidak ada sesuatu kekurangan pada-Nya dalam semua perkara, tidak menyerupai-Nya oleh sesuatu dan tidak ada yang menyengutui-Nya daripada makhluk-Nya.
Sebahagian daripada nama-Nya “Al-Hayyu” (Yang Maha Hidup) dan Dia mempunyai sifat “Hayat” (hidup) yang wajib disabitkan kepada Allah dengan sesempurnanya menurut yang layak bagi-Nya. Hidup ini ialah hidup yang sempurna dan abadi, berhimpun padanya semua jenis kesempurnaan yang terdiri daripada ilmu, kudrat dan lainnya, tidak pernah didahului oleh tiada dan tidak akan diikuti oleh fana (kemusnahan).
Firman Allah Taala: “Allah, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang tetap hidup, kekal mentadbir (sekalian makhluk) selama-lamanya. Yang tidak mengantuk usahkan tidur”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 255).
ii) Sesungguhnya Allah Taala suci daripada semua sifat kekurangan dan semua cacat cela, seperti tidur, lemah, jahil, zalim dan lain-lain. Demikian juga Allah Taala suci daripada sebarang bentuk persamaan dengan semua makhluk. Maka wajib dinafikan semua perkara yang Allah nafikan daripada diri-Nya dan dinafikan oleh Rasulullah s.a.w daripada Tuhannya serta beriktikad bahawa Allah bersifat dengan sempurna, bercanggah dengan segala sifat yang dinafikan daripada-Nya.
Apabila kita menafikan daripada Allah sifat mengantuk dan tidur bererti kita telah mengisbatkan kepada-Nya sempurna kekuasaan-Nya. Dengan menafikan sifat tidur bererti kita mengisbatkan kepada-Nya sempurna hidup. Demikianlah semua sifat yang dinafikan daripada Allah ianya mengandungi isbat sifat kesempurnaan di sebaliknya, Dialah Yang Maha Sempurna dan selain daripada-Nya adalah bersifat kurang.
Firman Allah Taala: “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”. (Surah Asy-Syura, ayat 11).
Firman Allah Taala: “Dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap hamba-Nya”. (Surah Fussilat, ayat 46).
Firman Allah Taala: “Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi, sesungguhnya Dia Amatlah Mengetahui lagi Amat Berkuasa”. (Surah Fathir, Ayat 44).
Firman Allah Taala: “Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa”. (Surah Maryam, Ayat 64).
Beriman dengan nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya dan perbuatan-Nya merupakan satu-satunya jalan untuk mengenali Allah dan beribadat kepada-Nya. Oleh kerana Allah tidak dapat dilihat oleh makhluk semasa hidup di dunia dengan penglihatan mata maka dibuka bagi mereka pintu ilmu yang membolehkan mereka mengenali Tuhan, “Ilah” yang mereka sembah. Mereka menyembah Allah berdasarkan pengetahuan yang sahih dan sempurna. Seorang hamba menyembah Tuhan yang telah disifatkan, sebaliknya (“al-mu’attil”) orang yang tidak percaya kepada sifat-sifat Allah menyembah sesuatu yang tiada dan (“al-mumassil”) orang yang menyamakan Allah dengan makhluk menyembah berhala. Seorang muslim menyembah Allah Yang Esa, Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk, Yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.
b) Perkara yang perlu diambil kira dalam mengisbatkan nama-nama Allah yang indah.
Dalam mengisbatkan nama-nama Allah yang indah perkara-perkara berikut perlu diambil kira:
i) Beriman dengan sabitnya semua nama-nama Allah yang indah yang tersebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah dengan tidak menambah atau mengurangkannya.
Firman Allah Taala: “Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Selamat Sejahtera (daripada segala kekurangan), Yang Maha Melimpahkan Keamanan, Yang Maha Pengawal serta Pengawas, Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya), Yang Melengkapi segala Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah daripada segala yang mereka sekutukan dengan-Nya”. (Surah Al-Hasyr, Ayat 23).
Telah sabit dalam As-Sunnah bahawa Nabi s.a.w telah mendengar seorang lelaki berkata:
اللهم إني أسألك بأن لك الحمد، لا إله إلا أنت، المنان، بديع السموات والأرض، يا ذا الجلال والإكرام، يا الحي يا القيوم
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau bahawasanya bagi-Mu segala puji-pujian dan tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Yang Mengasihani, Yang Mencipta langit dan bumi, Yang Memiliki Kebesaran dan Kemurahan, Yang Maha Hidup lagi Maha Mengawasi”.
فقال النبي ﷺ: تدرون بما دعا الله ؟ قالوا: الله ورسوله أعلم. قال: والذي نفسي بيده لقد دعا الله باسمه الأعظم الذي إذا دُعي به أجاب، وإذا سُئل به أعطى رواه أبو داود وأحمد
Sabda Nabi s.a.w: “Kamu tahukah apa yang beliau doakan kepada Allah?”. Jawab Sahabat: “Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui”. Sabdanya: “Demi Allah Yang diriku dikuasai tangan-Nya, sesungguhnya dia telah berdoa kepada Allah dengan nama-Nya yang agung sekiranya didoakan dengannya maka dikabulkan-Nya dan jika dipinta dengannya maka diberikan-Nya”. (Hadith Riwayat Abu Daud dan Ahmad).
ii) Beriman bahawa Allah Taala yang menamakan diri-Nya dan bukan dinamakan oleh seorang pun daripada makhluk-Nya. Dialah ‘Azza Wajalla yang telah memuji diri-Nya dengan nama-nama ini, bukan nama yang baru dijadikan.
iii) Beriman bahawa nama-nama Allah yang indah itu menunjukkan pengertian yang cukup sempurna, yang tidak ada sebarang kekurangan padanya. Maka wajib beriman dengan semua pengertian yang tersebut sepertimana wajib beriman dengan semua nama-nama-Nya.
iv) Wajib menghormati pengertian yang terkandung dalam nama-nama-Nya dan jangan sekali-kali melakukan sebarang perubahan dan menafikannya.
v) Beriman dengan semua tuntutan yang terkandung dalam nama-nama-Nya yang terdiri daripada hukum-hukum dan perkara yang bersangkutan dengannya daripada perbuatan dan kesan-kesannya.
Untuk penjelasan kepada lima perkara di atas kami bawakan contoh satu nama Allah iaitu As-Sami’ (السميع) “Yang Maha Mendengar”, maka wajib diambil kira perkara-perkara berikut:
i. Beriman dengan sabitnya nama As-Sami’ السميع sebagai salah satu daripada nama-nama Allah Al-Husna, kerana ianya disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
ii. Beriman bahawa Allah yang telah menamakan diri-Nya dengan nama tersebut dan berkata dengannya serta menurunkannya dalam kitab-Nya yang mulia (Al-Quran).
iii. Beriman bahawa “As-Sami’ ” mengandungi erti “mendengar” yang merupakan salah satu daripada sifat-sifat-Nya.
iv. Wajib menghormati sifat “mendengar” yang telah menunjukkan ke atasnya nama “As-Sami’ ” dan tidak mengubah ertinya atau menafikannya.
v. Beriman bahawa Allah mendengar segala sesuatu dan pendengaran-Nya meliputi semua suara serta beriman dengan kesan beriman bahawa Allah Taala itu Maha Mendengar. Antara kesan-kesan tersebut ialah wajib mengetahui pemerhatian Allah ke atas dirinya, takutkan-Nya serta gerun kepada-Nya dengan penuh keyakinan bahawa tidak ada sesuatupun yang tersembunyi daripada pendengaran Allah s.w.t.
c) Perkara yang perlu diambilkira dalam mengisbat sifat-sifat Allah
Dalam mengisbat sifat-sifat Allah, perkara-perkara berikut perlu diambil kira:
i) Isbat semua sifat-sifat yang tersebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah bagi Allah Taala secara hakiki dengan tidak melakukan sebarang perubahan atau menafikannya.
ii) Iktikad yang tetap bahawa Allah Taala bersifat dengan sifat-sifat yang sempurna dan suci daripada semua sifat-sifat kekurangan atau cacat cela.
iii) Tidak membuat persamaan sifat-sifat Allah dengan sifat-sifat semua makhluk, kerana Allah s.w.t. tiada sesuatupun yang sebanding dengan sifat-sifat-Nya atau perbuatan-Nya.
Firman Allah Taala: “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”. (Surah Asy-Syura, Ayat 11).
iv) Tidak ada kemungkinan langsung untuk mengetahui “kaifiat” (bagaimana) sifat-sifat Allah kerana tidak ada jalan bagi makhluk untuk mengetahuinya.
v) Beriman dengan semua perkara yang terkandung dalam semua sifat-sifat Allah dari segi hukum dan semua tuntutan daripada kesan-kesan beriman dengan sifat-sifat Allah Taala tersebut, maka semua sifat mengandungi ” ‘Ubudiyyah” (perhambaan kepada Allah).
Untuk penjelasan kepada lima perkara di atas kami bawa satu contoh dengan sifat “Al-Istiwa’ ” الاستواء) ) mesti mengambil kira perkara-perkara berikut:
i) Isbat sifat “Al-Istiwa’ ” (bersemayam) dan beriman dengannya, kerana sifat ini telah disebut dalam nas-nas syara’. Firman Allah Taala:
“Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy”. (Surah Toha, ayat 5).
ii) Isbat sifat “Istiwa’ ” (bersemayam) bagi Allah Taala dengan keadaan yang sempurna yang layak bagi Allah Taala, maknanya: Ketinggian Allah yang berada di atas Arasy-Nya secara hakiki, mengikut kedudukan yang layak dengan kemuliaan dan kebesaran-Nya.
iii) Tidak menyamakan “istiwa’ ” (bersemayam) Allah di atas Arasy dengan kedudukan makhluk di atas singgahsana, kerana Allah tidak berkehendak kepada Arasy, adapun “istiwa’ “(bersemayam) makhluk maka mereka sentiasa memerlukan dan berhajat kepada sesuatu berdasarkan firman Allah:
“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”. (Surah Asy-Syura, Ayat 11).
iv) Tidak membincangkan bagaimana cara “istiwa’ “Allah di atas Arasy, kerana ianya merupakan perkara ghaib yang tidak sesiapapun mengetahui hakikatnya kecuali Allah s.w.t.
v) Beriman dengan semua hukum dan kesan yang berkaitan dengannya, iaitu dengan mengisbatkan keagungan Allah Taala dan kemegahan-Nya yang layak bagi-Nya yang menunjukkan ketinggian kedudukan-Nya yang mutlak ke atas makhluk-Nya serta menghadap sepenuh hati ke arah ketinggian-Nya sepertimana yang diucapkan oleh seorang yang sedang sujud: (سبحان ربي الأعل) ertinya: “Maha Suci Tuhan Yang Maha Tinggi”.
3. Iktiqad Bahawa Allah Ialah “Ilah” (Tuhan) Yang Sebenar
Iktikad bahawa Allah ialah “Ilah” (Tuhan) yang sebenar yang benar-benar berhak disembah secara zahir dan batin, Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya.
Firman Allah Taala: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada setiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya supaya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut”. (Surah An-Nahl, Ayat 36).
Tidak ada seorang rasul kecuali semuanya telah menyeru kaumnya:
“Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya”. (Surah Al-A’raf, Ayat 59).
Firman Allah Taala: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, dalam keadaan teguh di atas tauhid”. (Surah Al-Bayyinah, Ayat 5).
Tersebut di dalam Sahih Al-Bukhari dan Muslim Nabi s.a.w bersabda kepada Mu’az r.a.:
أتدري ما حق الله على العباد، وما حق العباد على الله؟ قلت: الله ورسوله أعلم. قال حق الله على العباد أن يعبدوه ولا يشركوا به شيئاً، وحق العباد على الله ألا يعذب من لا يشرك به شيئا.
“Adakah kamu tahu apakah hak Allah ke atas hamba-Nya dan hak seorang hamba ke atas Allah?”. Jawab Mu’az: “Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui”. Sabdanya: “Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah mereka mesti menyembah-Nya dan jangan sekali-kali melakukan syirik terhadap-Nya dengan sesuatupun dan hak seorang hamba ke atas Allah ialah tidak mengazab mereka yang tidak melakukan syirik terhadap-Nya dengan sesuatu”.
“Ilah” (Tuhan) yang sebenar: Ialah Tuhan tempat bergantung hati kepada-Nya dengan penuh kasih sayang (mahabbah) lebih daripada semua yang lain, hanya meletakkan pengharapan kepada-Nya dan cukuplah meminta kepada-Nya, memohon bantuan daripada-Nya, takut dan gerun kepada-Nya.
Firman Allah Taala: “Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dialah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya dan bahawa segala yang mereka sembah selain daripada Allah itulah yang nyata palsunya dan (ingatlah) sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)”. (Surah Al-Haj, Ayat 62).
Inilah tauhid (mengesakan) Allah yang berhubung kait dengan perbuatan hamba-hamba-Nya.
4. Kepentingan Tauhid
Kepentingan tauhid dapat diperjelaskan melalui perkara-perkara berikut:
a- Tauhid adalah merupakan asas pertama agama ini, matlamatnya, akhirnya, zahirnya dan batinnya dan ianya merupakan dakwah (seruan) semua rasul (ke atas mereka semua kesejahteraan).
b- Kerana tauhid ini Allah menciptakan makhluk, mengutuskan rasul-rasul dan menurunkan kitab-kitab. Kerananya berselisih pendapat di kalangan makhluk dan berpecah kepada golongan mukmin dan kafir dan golongan yang bertuah dan celaka.
c- Tauhid ialah perkara pertama yang wajib ke atas seorang “mukallaf” (akil baligh), juga yang pertama membawa seorang hamba memasuki pintu Islam dan yang terakhir bersamanya ketika keluar dari alam kehidupan dunia.
5. Tahkik (perlaksanaan) Tauhid
Melaksanakan tauhid: Ialah membersih dan memurnikannya daripada sebarang bentuk syirik, bid’ah (rekaan, tambahan terhadap ajaran agama) dan maksiat. Ianya terbahagi kepada dua bahagian: wajib dan sunat.
a – Wajib terdiri daripada tiga perkara:
i. Membersihkannya daripada perbuatan syirik yang menafikan asas tauhid.
ii. Membersihkannya daripada perbuatan bid’ah yang menafikan, a) kesempurnaan perkara yang wajib atau, b) menafikan asas tauhid jika ianya terdiri daripada bid’ah yang membawa kepada kekufuran.
iii. Membersihkannya daripada semua bentuk maksiat yang mengurangkan pahala atau memberi kesan kepadanya.
b – Sunat ialah perkara-perkara yang disuruh melakukannya secara “istihbab” (tidak wajib), antara contohnya ialah seperti berikut:
i) Tahkik (merealisasikan) kesempurnaan martabat ihsan (menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya).
ii) Tahkik (merealisasikan) kesempurnaan martabat yakin.
iii) Tahkik (merealisasikan) kesempurnaan sifat sabar, iaitu dengan tidak membuat sebarang pengaduan kepada makhluk selain daripada Allah.
iv) Tahkik (merealisasikan) kesempurnaan rasa terkaya, memadai dengan hanya memohon kepada Allah Taala, tidak meminta sebarang permohonan daripada makhluk.
v) Tahkik (merealisasikan) kesempurnaan martabat tawakkal, iaitu dengan meninggalkan beberapa perkara yang harus seperti meminta supaya dijampi, hanya bertawakkal kepada Allah Taala.
vi) Tahkik (merealisasikan) kesempurnaan martabat mahabbah (kasih dan cinta) kepada Allah dengan melakukan amalan-amalan sunat.
Sesiapa yang telah melaksanakan tuntutan tauhid seperti yang tersebut di atas serta selamat (terjaga) daripada melakukan syirik yang besar (perbuatan kufur) juga yang kecil serta menjauhkan diri daripada dosa-dosa besar dan maksiat, maka dia akan mendapat keamanan yang sempurna di dunia dan di akhirat.
Firman Allah Taala: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya)”. (Surah An-Nisa’, Ayat 48).
Firman Allah Taala: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk”. (Surah Al-An’am, Ayat 82).
6. Perkara Yang Bertentangan Dengan Tauhid Ialah Syirik (Menyengutukan Allah Dengan Makhluk), Ianya Terbahagi Kepada Tiga Bahagian:
a) Syirik yang besar, yang menafikan asas tauhid, tidak diampunkan oleh Allah kecuali dengan bertaubat meninggalkannya (kembali kepada Islam). Sesiapa yang mati dalam keadaan syirik akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Iaitu mereka yang mengadakan sekutu bagi Allah dalam beribadat, berdoa (meminta) kepadanya seperti mereka berdoa kepada Allah, berserah diri kepadanya, mengharapkan pertolongannya, kasih dan cinta kepadanya serta takut kepadanya seperti mereka lakukan terhadap Allah.
Firman Allah Taala: “Sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”. (Surah Al-Maidah, Ayat 72).
b) Syirik kecil yang menafikan kesempurnaan tauhid, iaitu setiap perkara yang boleh membawa kepada syirik besar, seperti bersumpah dengan lain daripada nama Allah dan perbuatan riya’ yang sedikit.
c) Syirik tersembunyi (khafi), iaitu perbuatan yang bersangkut dengan niat dan amalan hati, kadang-kadang ianya menjadi syirik besar dan adakalanya syirik kecil seperti yang telah dijelaskan dalam jenis pertama dan kedua di atas.
Dari Mahmud bin Labid r.a. Rasulullah s.a.w bersabda:
إن أخوف ما أخاف عليكم الشرك الأصغر، قالوا وما الشرك الأصغر يا رسول الله ؟ قال: الرياء . [ رواه الإمام أحمد ]
“Sesungguhnya perkara yang aku sangat takuti menimpa kamu ialah syirik kecil”. Sahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu wahai Rasulullah?”. Sabdanya: “Riya’ “. (Hadith Riwayat Imam Ahmad).
B – PENGERTIAN IBADAT
Ibadat ialah satu nama yang meliputi semua perkara yang disukai oleh Allah serta diredhai-Nya iaitu dari segi ‘akidah (pegangan atau iktikad), amalan hati, amalan anggota dan semua amalan yang mendekatkan diri kepada Allah daripada perbuatan-perbuatan yang wajib dilakukan dan perbuatan-perbuatan yang wajib ditinggalkan.
Termasuk di bawah nama ibadat semua perkara yang telah disyariatkan oleh Allah dalam kitab-Nya atau melalui Sunnah Rasul-Nya Muhammad s.a.w. Ianya merupakan beberapa jenis ibadat, sebahagian daripadanya ialah ibadat yang bergantung dengan hati seperti Rukun Iman yang enam, “khauf” (takut), “raja’ ” (harap), tawakkal, “raghbah” (sangat kasih/gemar), “rahbah” (gerun) dan lainnya dari jenis ibadat. Sebahagiannya ibadat zahir seperti solat, zakat, puasa dan haji.
1. Tidak Sah Sesuatu Ibadat Kecuali Dibina Di Atas Dua Landasan:
a – Mengikhlaskan ibadat kepada Allah dan tidak melakukan syirik terhadapnya. Inilah makna syahadah (pengakuan) “La ilaha illallah” (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah).
Firman Allah Taala: “Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya, sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)”. (Surah Az-Zumar, Ayat 3).
Firman Allah Taala: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, dalam keadaan teguh di atas tauhid”. (Surah Al-Bayyinah, Ayat 5).
b – Mengikut ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dengan melakukannya sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi s.a.w tanpa membuat sebarang penambahan atau pengurangan. Inilah makna syahadah (pengakuan) Muhammad Rasulullah.
Firman Allah Taala: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu”. (Surah Ali ‘Imran, Ayat 31).
Firman Allah Taala: “Dan segala perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan segala yang dilarang-Nya maka patuhilah larangan-Nya”. (Surah Al-Hasyr, Ayat 7).
Firman Allah Taala: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak berasa di hati mereka sesuatu keberatan daripada apa yang telah engkau hukumkan itu dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. (Surah An-Nisaa’, Ayat 65).
2. ” ‘Ubudiyyah” (Perhambaan) Yang Sempurna Tidak Akan Terlaksana Kecuali Dengan Dua Perkara
a) – Mahabbah atau cintakan Allah dengan sepenuhnya, iaitu dengan mendahulukan mahabbah atau cinta kepada Allah mengatasi cinta kepada semua yang lain.
b) – Tunduk, patuh dan menghina diri kepada Allah, iaitu dengan melaksanakan semua tuntutan dan menjauhkan diri daripada semua larangan Allah.
“Al-‘Ubudiyyah” ialah suatu ibarat yang menghimpunkan rasa mahabbah serta penuh kehinaan dan kepatuhan, “rajaa’ ” dan “khauf”, maka dengan itu terlaksanalah ” ‘ubudiyyah” seorang hamba terhadap Tuhannya dan Penciptanya. Dengan melaksanakan ” ‘ubudiyyah” kepada Allah dengan sepenuhnya akan membawa seorang hamba mencapai tahap mahabbah (cinta/kasih)kan Allah dan keredhaan-Nya. Sesungguhnya Allah kasih kepada hamba-Nya yang menghampirkan diri kepada-Nya dengan melakukan semua suruhan yang difardhukan ke atasnya. Apabila seorang hamba memperbanyakkan amalan sunat bertambah hampirlah ia kepada Allah Taala dan diangkatlah darjatnya di sisi Allah dan semua itu adalah sebahagian daripada sebab yang akan memasukkannya ke dalam syurga dengan limpah kurnia serta rahmat daripada Allah Taala.
Firman Allah Taala: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah Al-A’raf, Ayat 55).
C – DALIL-DALIL SERTA TANDA KEESAAN ALLAH
Dalil atau tanda keesaan Allah Taala sangat banyak. Sesiapa yang memerhatikannya serta merenunginya maka akan teguh ilmunya serta bertambah keyakinannya terhadap keesaan Allah Taala dalam mentadbir serta “wahdaniyyah” (keesaan) Allah pada perbuatan-Nya, nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya dan “Uluhiyyah” (ketuhanan)-Nya.
Antara dalil-dalil dan tanda-tanda kewujudan Allah ialah seperti berikut:
1) Agungnya kejadian alam semesta ini. Sesiapa yang memerhatikannya serta berfikir tentang kejadiannya akan berasa yakin dengan “wahdaniyyah” (keesaan) Allah kerana halus seni ciptaannya, pelbagai jenis makhluk terdapat di dalamnya dan sistem perjalanannya yang teratur. Maka mereka yang memerhatikan kejadian langit dan bumi, matahari dan bulan, manusia dan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan batu-batan akan mengetahui dengan penuh yakin bahawa semua makhluk itu ada pencipta yang sempurna pada nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya dan “uluhiyyah” (ketuhanan)-Nya. Semua yang tersebut menunjukkan bahawa Allah Yang Esa sahaja berhak disembah.
Firman Allah Taala: “Dan Kami telah jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya. Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang serta matahari dan bulan, tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas)”. (Surah Al-Anbiya’, Ayat 31-33).
Firman Allah Taala: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”. (Surah Ar-Rum, Ayat 22).
2) Ajaran syariat yang telah Allah utuskan melalui rasul-rasul dan dikuatkan pula ajaran tersebut dengan tanda-tanda keterangan yang menunjukkan kepada “wahdaniyyah” serta keesaan Allah Taala untuk disembah. Semua ajaran yang telah disyariatkan oleh Allah ke atas makhluk-Nya daripada hukum-hakam menjadi dalil yang nyata bahawa ianya tidak datang kecuali daripada “Rabb” (Pencipta) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui perkara yang baik untuk makhluk ciptaan-Nya.
Firman Allah Taala: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas (nyata) dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan”. (Surah Al-Hadid, Ayat 25).
Firman Allah Taala: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya sekiranya sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”. (Surah Al-Isra’, Ayat 88).
3) Fitrah kejadian manusia yang telah Allah jadikan dalam hati hamba-hamba-Nya mengakui keesaan Tuhan, ianya merupakan suatu perkara yang telah tetap dalam diri manusia. Apabila manusia ditimpa bala bencana mereka akan mendapatinya (fitrah) serta kembali kepada Allah. Jika seorang manusia selamat daripada keraguan (yang melemahkan imannya) dan syahwat yang merubah perjalanan fitrahnya nescaya mereka akan dapati dalam dirinya pengakuan serta kepatuhan kepada keesaan Allah dalam “uluhiyyah“-Nya, nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya dan perbuatan-Nya juga akan patuh kepada ajaran syariat yang dibawa oleh rasul-rasul-Nya (ke atas mereka semua selawat dan salam).
Firman Allah Taala: “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan, (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa merujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepada-Nya dan kerjakanlah sembahyang dengan betul dan sempurna dan janganlah kamu tergolong dari mana-mana golongan orang musyrik”. (Surah Ar-Rum, Ayat 30-31).
Sabda Nabi s.a.w:
كل مولد يولد على الفطرة، فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه، كما تنتج البهيمة بهيمة جمعاء، هل تحسون فيها من جدعاء. ثم قرأ [ رواه البخاري ]
“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkanya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi, sebagaimana binatang telah melahirkan anaknya dengan sempurna, apakah kamu tidak sedar ada di antaranya yang cacat (putus hidung dengan sebab perbuatan tuannya), kemudian Abu Hurairah r.a. membaca ayat (maksudnya): “(Turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari).
* * *
Ekstraks dari buku “Rukun Iman” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman dengan sedikit suntingan dan saringan oleh https://darulkautsar.wordpress.com/
Bacaan lanjut – Perbincangan Tentang Tauhid Berdasarkan Hadith Sahih al-Bukhari