Rukun Keempat: Beriman Dengan Rasul

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO -[Durasi 10m 5s]- RUKUN IMAN KEEMPAT – Percaya Kepada Rasul – Maulana Muhammad Asri Yusoff

VIDEO -[Durasi 1j 12m 16s] – Rukun Iman Ketiga & Keempat – BERIMAN DENGAN KITAB & RASUL – Dr Abd Basit Abdul Rahman

 [ Tonton video “RUKUN IMAN KEEMPAT – Percaya Kepada Rasul – Maulana Muhammad Asri Yusoff” melalui saluran YouTube – https://youtu.be/j-AqhQ7sCkw ]

[ Tonton video “Rukun Iman Ketiga & Keempat – BERIMAN DENGAN KITAB & RASUL – Dr Abd Basit Abdul Rahman” melalui saluran YouTube – https://youtu.be/EAqL_dSfSM0 ]

BERIMAN DENGAN RASUL

A – BERIMAN DENGAN RASUL-RASUL Alaihimussalam. 

Beriman dengan rasul-rasul a.s.  ialah salah satu daripada Rukun Iman dan tidak sempurna iman seseorang yang tidak beriman dengan rasul-rasul.

Beriman dengan rasul-rasul: Ialah iktikad dengan yakin bahawa Allah Taala mempunyai rasul-rasul yang dipilih untuk meyampaikan risalah-Nya. Sesiapa yang mengikut rasul maka dia telah mendapat petunjuk dan sesiapa yang menderhaka kepada rasul sesungguhnya dia telah terpesong daripada jalan yang benar. Mereka telah meyampaikan semua ajaran yang diturunkan oleh Allah dengan keterangan yang nyata, mereka telah menunaikan amanah dan menasihati ummah, berjihad pada jalan Allah dengan sebenar-benar jihad, mendirikan hujjah dan tidak sekali-kali menukar, mengubah atau menyembunyikan sesuatu yang disampaikan kepada mereka. Kita beriman dengan rasul yang telah disebut nama mereka oleh Allah dan juga rasul yang tidak disebut nama mereka.

Setiap rasul menyampaikan khabar gembira dengan kedatangan rasul selepasnya dan yang terakhir pula akan membenarkan rasul-rasul sebelumnya.

Firman Allah Taala: “Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): Kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturunkan kepada kami (Al-Quran) dan kepada kitab yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaakub serta anak-anaknya dan juga kepada kitab yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi ‘Isa (Injil) dan kepada kitab yang diberikan kepada nabi-nabi daripada Tuhan mereka, kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka (sebagaimana kamu – Yahudi dan Nasrani – membeza-bezakannya) dan kami semua tunduk dan patuh (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 136).

Sesiapa yang mendustakan rasul sesungguhnya dia telah mendustakan Tuhan yang membenarkannya dan sesiapa yang menderhaka kepada rasul sesungguhnya dia telah menderhaka kepada Tuhan yang menyuruh mentaatinya.

Firman Allah Taala: “Sesungguhnya orang-orang yang kufur (ingkar) kepada Allah dan rasul-rasul-Nya dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan rasul-rasul-Nya dan (orang-orang yang) berkata: Kami beriman kepada sebahagian daripada rasul-rasul itu dan kufur (ingkar) kepada sebahagian yang lain, serta bertujuan mengambil jalan tengah di antara iman dan kufur itu. Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghinakan”. (Surah An-Nisa’, Ayat 150-151). 

B – HAKIKAT KENABIAN (AN-NUBUWWAH)

An-Nubuwwah ialah perantaraan di antara Pencipta dan makhluk dalam menyampaikan syariat. Allah telah memberikan nikmat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari kalangan hamba-hamba-Nya dan memilih sesiapa yang dikehendaki-Nya dari kalangan makhluk-Nya untuk menjalankan tugas kenabian ini dan tidak ada sesiapa yang berhak memilihnya selain daripada Allah. Firman Allah Taala: “Allah memilih utusan-utusan-Nya di kalangan para malaikat dan daripada kalangan manusia. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Hajj, Ayat 75). Martabat kenabian ialah anugerah daripada Allah Taala kepada hamba-Nya, bukanlah sesuatu yang boleh diusahakan oleh seorang hamba, ia tidak dapat dicapai dengan banyak melakukan ketaatan atau ibadat, tidak juga dengan dipilih seorang nabi yang lain atas permintaannya, sesungguhnya ia adalah anugerah dan pilihan daripada Allah Taala. Firman Allah Taala: “Allah memilih serta mempermudahkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama tauhid dan memberi hidayat (kepada agama-Nya) sesiapa yang kembali kepada-Nya (dengan taat)”. (Surah Asy-Syura, Ayat 13). 

C – HIKMAH DIUTUSKAN RASUL 

Hikmah diutuskan rasul-rasul a.s.  dapat dilihat daripada contoh berikut:

1. Mengeluarkan hamba-hamba Allah daripada menyembah sesama hamba kepada menyembah Tuhan yang memiliki hamba (Allah). Keluar daripada perhambaan kepada makhluk kepada kemerdekaan menyembah Tuhan sekalian hamba. Firman Allah Taala: “Dan tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (Surah Al-Anbiya’, Ayat 107).

2. Menjelaskan tujuan sebenar Allah s.w.t. menciptakan makhluk, iaitu untuk beribadat kepada-Nya serta mentauhidkan-Nya, semua ini tidak dapat diketahui kecuali melalui ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul a.s. yang telah dipilih oleh Allah daripada kalangan makhluk-Nya serta memberikan mereka kelebihan di atas semua alam semesta. Firman Allah Taala: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada setiap umat seorang rasul (dengan memerintahkannya supaya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut”. (Surah An-Nahl, Ayat 36).

3. Mendirikan hujjah ke atas manusia dengan mengutuskan rasul-rasul. Firman Allah Taala: “Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia itu hujjah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada Hari Kiamat kelak) terhadap Allah sesudah Dia mengutuskan rasul-rasul. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana ”. (Surah An-Nisa’, Ayat 165).

4. Menerangkan beberapa perkara ghaib yang tidak dapat dicapai oleh manusia dengan akal mereka seperti nama-nama Allah, sifat-sifat-Nya, mengenali para malaikat, Hari Akhirat dan lain-lain.

5. Semua rasul a.s. merupakan contoh ikutan yang sempurna, Allah telah menyempurnakan mereka dengan akhlak yang baik dan juga memelihara mereka daripada “syubuhat” (keraguan) dan syahwat. Firman Allah Taala: “Mereka (nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutilah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka”. (Surah Al-An’am, Ayat 90). Firman Allah Taala: “Demi sesungguhnya ada pada mereka itu (Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya) satu contoh tauladan yang baik bagimu”. (Surah Al-Mumtahanah, Ayat 6).

6. Memperbaiki, memurni dan membersihkan nafsu serta menjauhkannya daripada perkara-perkara yang merosakkannya. Firman Allah Taala: “Dialah (Allah) yang telah mengutuskan dari kalangan orang-orang (Arab) yang “Ummiyyin”, seorang Rasul (Nabi Muhammad) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat) serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak)”. (Surah Al-Jumu’ah, Ayat 2). Sabda Nabi s.a.w:

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق. [ رواه أحمد والحاكم ]

“Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan budi pekerti (akhlak) yang mulia”. (Hadith Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

D – TUGAS-TUGAS RASUL 

Rasul-rasul a.s.  mempunyai tugas yang mulia, antaranya:

1. Menyampaikan syariat Allah dan menyeru manusia untuk menghambakan diri kepada Allah yang Esa serta menolak semua ibadat kepada selain daripada Allah. Firman Allah Taala: “(Nabi-nabi yang terdahulu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut untuk melanggar perintah-Nya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhluk-Nya untuk membalas mereka)”. (Surah Al-Ahzab, Ayat 39).

2. Menjelaskan kepada manusia semua ajaran agama yang telah diturunkan kepada mereka. Firman Allah Taala: “Dan kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya”. (Surah An-Nahl, Ayat 44)

3. Membawa umat ke arah kebaikan dan menjauhkan mereka daripada melakukan kejahatan, memberi khabar gembira tentang pahala (kepada mereka yang melakukan kebaikan) serta memberi amaran kepada (mereka yang melakukan kejahatan) dengan seksaan. Firman Allah Taala: “Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat)”. (Surah An-Nisa’, Ayat 165).

4. Memperbaiki manusia dengan menunjukkan contoh ikutan yang baik dalam perkataan dan perbuatan.

5. Menegakkan dan melaksanakan syariat Allah di kalangan manusia.

6. Semua rasul akan menjadi saksi ke atas umatnya pada Hari Kiamat bahawa mereka telah menyampaikan syariat Allah kepada umat dengan jelas. Firman Allah Taala: “Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada Hari Akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka) dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu”. (Surah An-Nisa’, Ayat 41). 

E – ISLAM IALAH AGAMA SEMUA NABI 

Islam ialah agama semua nabi dan rasul. Firman Allah Taala: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam”. (Surah Ali ‘Imran, Ayat 19). Semua nabi dan rasul a.s. menyeru manusia kepada menyembah Allah Yang Esa dan menolak semua ibadat yang lain, walaupun berbeza dari segi syariat (perundangan) dan hukum, tetapi sama pada asasnya iaitu Tauhid kepada Tuhan Yang Esa. Sabda Nabi s.aw:

الأنبياء إخوة لعلات . [ رواه البخاري ]

“Semua nabi adalah adik beradik tiri (sebapa tapi berlainan ibu)”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari).

F – RASUL-RASUL ADALAH MANUSIA BIASA, MEREKA TIDAK MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB 

Mengetahui perkara ghaib merupakan ciri-ciri sifat “uluhiyyah” (ketuhanan) dan bukannya daripada sifat nabi, kerana mereka manusia biasa seperti manusia lain juga, mereka makan, minum, berkahwin, tidur, sakit dan merasai kepenatan. Firman Allah Taala: “Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan sesungguhnya mereka juga makan, minum dan berjalan di pasar-pasar”. (Surah Al-Furqan, Ayat 20).

Firman Allah Taala: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul sebelummu dan Kami jadikan bagi mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan”. (Surah Ar-Ra’d, Ayat 38).

Mereka juga mempunyai perasaan seperti manusia lain, sedih, suka, susah dan senang, tetapi mereka mempunyai kelebihan kerana dipilih oleh Allah s.w.t sebagai penyampai agama-Nya dan mereka tidak mengetahui perkara ghaib kecuali perkara-perkara yang Allah Taala tunjukkan kepada mereka.

Firman Allah Taala: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya, apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasinya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)”. (Surah Al-Jin, ayat 26-27). 

G – ” ’ISMAH” (PEMELIHARAAN) RASUL 

Allah Taala telah memilih orang yang akan membawa dan menyampaikan risalah-Nya daripada sebaik-baik makhluk dan semulia-mulia kejadian dan akhlak. Allah juga menjaga mereka daripada melakukan sebarang dosa dan melepaskan mereka daripada sebarang cacat-cela sehingga mereka dapat menyampaikan wahyu Allah kepada umat mereka. Mereka semua “ma’sum” (terpelihara daripada kesalahan) dalam menyampaikan semua perkara dan ajaran (risalah) yang datang daripada Allah Taala. Inilah pendapat yang disepakati ummah (ulama’). Firman Allah Taala: “Wahai Rasulullah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya dan Allah jualah yang memeliharamu dari (kejahatan) manusia”. (Surah Al-Maidah, Ayat 67).

Firman Allah Taala: “(Nabi-nabi yang terdahulu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintah-Nya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah”. (Surah Al-Ahzab, Ayat 39).

Firman Allah Taala: “(Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Dia mengetahui bahawa sesungguhnya (dengan jagaan mereka) rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka (dengan sempurna), padahal Dia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka serta Dia menghitung tiap-tiap sesuatu, satu persatu”. (Surah Al-Jin, ayat 28).

Apabila salah seorang daripada mereka melakukan kesalahan kecil yang tidak bersangkut dengan penyampaian risalah Allah, maka Allah akan menegur mereka dan dengan segera mereka akan bertaubat dan kembali kepada Allah, seolah-olah mereka tidak melakukan kesalahan tersebut dan dengan demikian mereka akan mencapai martabat yang lebih tinggi daripada martabat sebelumnya. Ini kerana Allah telah menentukan semua Nabi – selawat dan salam Allah ke atas mereka – mempunyai akhlak yang mulia dan sifat yang terpuji serta membersihkan mereka daripada perkara yang menjatuhkan martabat dan kedudukan mereka. 

H – BILANGAN NABI DAN RASUL SERTA YANG PALING UTAMA DI KALANGAN MEREKA

Telah sabit bahawa bilangan rasul-rasul ‘alaihimussalam lebih dari 300 orang, kerana sabda Nabi s.a.w ketika ditanya tentang bilangan rasul-rasul:

ثلاثمائة وخمس عشرة جماً غفيراً. [ رواه الحاكم ]

“Tiga ratus lima belas orang ramainya”. (Hadith Riwayat Al-Hakim).

Bilangan nabi pula lebih ramai daripada yang tersebut, sebahagian daripada mereka, Allah telah sebutkan kisahnya kepada kita di dalam kitab-Nya, sebahagian yang lain pula tidak disebut kisahnya kepada kita. Allah telah menyebut dalam kitab-Nya seramai 25 orang Nabi dan Rasul. Firman Allah Taala: “Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu (sebelum ini) dan rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu”. (Surah An-Nisa’, Ayat 164).

Firman Allah Taala: “Dan itulah hujjah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat (kedudukan) sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah) dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (daripada mereka) Kami telah kurniakan petunjuk dan juga Nabi Nuh Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, Sulaiman, Ayub, Yusuf, Musa dan Harun dan demikianlah Kami berikan balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, Yahya, ‘Isa dan Ilyas, semuanya dari kalangan orang-orang yang soleh. Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi nabi): IsmailIlyasa’YunusLut dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya). Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, keturunan mereka dan saudara-saudara mereka. Kami telah memilih mereka, serta Kami tunjukkan kepada mereka jalan yang lurus”. (Surah Al-An’am, Ayat 83-87).

Allah Taala telah melebihkan darjat sebahagian para nabi di atas sebahagian yang lain, firman Allah Taala: “Dan sesungguhnya Kami telah melebihkan sebahagian nabi-nabi atas sebahagian yang lain”. (Surah Al-Isra’, Ayat 55).

Allah Taala juga telah melebihkan darjat sebahagian rasul di atas sebahagian yang lain, firman Allah Taala: “Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka di atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu)”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 253). Dan yang paling afdhal di kalangan mereka ialah “Ulul ‘Azmi” daripada rasul-rasul. Mereka ialah: Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, ‘Isa dan Muhammad a.s.

Firman Allah Taala: “(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul Ulul ‘Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu)”. (Surah Al-Ahqaf, Ayat 35).

Firman Allah Taala: “Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari nabi-nabi (umumnya) perjanjian setia mereka dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad) dan dari Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi ‘Isa ibni Mariam dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian setia lagi teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka)”. (Surah Al-Ahzab, Ayat 7).

Nabi Muhammad s.a.w ialah Rasul yang paling mulia, penutup sekalian nabi, Imam (pemimpin) orang-orang bertaqwa, penghulu sekalian anak Adam, Imam kepada semua nabi-nabi ketika berhimpun dan jurucakap mereka ketika dibangkitkan (di Padang Mahsyar), pemilik “Maqam Al-Mahmud” iaitu kedudukan tertinggi yang menjadi impian semua kaum yang terdahulu dan kemudian, pemilik “Liwa’ Al-Hamd” bendera yang terpuji, kolam yang dikunjungi (pada Hari Kiamat), pemberi syafaat pada Hari Kiamat, yang mempunyai segala keutamaan dan kelebihan. Allah Taala mengutusnya dengan membawa syariat agama yang paling mulia, menjadikan umatnya sebaik-baik umat dari kalangan umat manusia, Allah telah menghimpunkan kepada Nabi Muhammad dan umatnya segala kebaikan dan kemuliaan yang membezakannya dengan orang-orang sebelum mereka dan mereka adalah umat yang terakhir dijadikan dan yang terawal dibangkitkan (pada Hari Kiamat). Sabda Nabi s.a.w:

فضلت على الأنبياء بست… . [ رواه مسلم ]

“Aku telah diberi kelebihan oleh Allah mengatasi semua nabi dengan enam perkara…”. (Hadith Riwayat Muslim).

Dan sabda Nabi s.a.w. lagi:

[أنا سيد ولد آدم يوم القيامة، وبيدي لواء الحمد ولا فخر. وما من نبي يومئذ آدم فمن سواه إلا تحت لوائي يوم القيامة [ رواه أحمد والترمذي

“Aku penghulu anak Adam pada Hari Kiamat dan di tanganku bendera kepujian dan aku tidak berasa megah. Tidak terkecuali seorang nabi pun, walaupun Nabi Adam, juga orang lain pada hari itu kecuali semuanya berada di bawah panjiku pada Hari Kiamat”. (Hadith Riwayat Ahmad dan At-Tirmizi).

Kedudukan kedua selepas Rasulullah s.a.w dari kalangan “Ulul ‘Azmi” ialah Nabi Ibrahim a.s. yang diberi gelaran “Khalil Ar-Rahman” ertinya: kekasih Allah. Rasulullah s.a w dan Nabi Ibrahim ialah yang paling afdhal di kalangan Ulul ‘Azmi” kemudian diikuti oleh tiga orang Rasul yang seterusnya. 

J – MUKJIZAT/TANDA-TANDA KEBENARAN NABI-NABi A.S.  

Allah Taala telah menguatkan dakwah para rasul dengan tanda-tanda yang besar dan mukjizat yang nyata sebagai hujjah yang menguatkan atau keperluan yang diperlukan, seperti Al-Quran, terbelahnya bulan, tongkat menjadi ular, menjadikan burung daripada tanah dan sebagainya. Mukjizat yang berlaku dengan cara yang luar biasa itu menjadi dalil terhadap kebenaran dakwaan bahawa mereka adalah nabi yang benar. Karamah pula menjadi dalil kepada kebenaran pengikut nabi yang benar.

Firman Allah Taala: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang nyata”. (Surah Al-Hadid, Ayat 25).

Sabda Nabi s.a.w.

ما من نبي من الأنبياء إلا وقد أوتي من الآيات ما آمن على مثله البشر، وإنما كان الذي أوتيته وحياً أوحاه إلي، فأرجو أن أكون أكثرهم تابعاً يوم القيامة [متفق عليه]

“Tidak ada seorang pun Nabi yang diutuskan di kalangan para nabi kecuali Allah Taala memberikan kepada mereka tanda-tanda (mukjizat) yang akan menjadikan manusia mempercayainya; sesungguhnya yang diberikan kepadaku ialah wahyu yang Allah telah sampaikan kepadaku dan aku berharap akan mendapat pengikut yang paling ramai pada Hari Kiamat kelak”. (Muttafaq ‘Alaih: Al-Bukhari dan Muslim).

K – BERIMAN DENGAN KENABIAN NABI MUHAMMAD S.A.W 

Beriman dengan kenabiannya s.a.w merupakan asas yang utama daripada asas-asas iman, tidak terlaksana iman kecuali dengan beriman kepadanya. Firman Allah Taala: “Dan (ingatlah bahawa) sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Kami sediakan bagi orang-orang kafir itu api neraka yang menjulang-julang”. (Surah Al-Fath, Ayat 13). Sabda Nabi s.a.w,

أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله وأني رسول الله [ رواه مسلم ]

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengakui bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku adalah Rasulullah”. (Hadith Riwayat Muslim).

Tidak sempurna beriman dengan Rasulullah s.a.w. kecuali dengan melakukan perkara-perkara berikut: 

1. Mengenali Nabi kita Muhammad s.a.w, nama Baginda ialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim. Hashim dari keturunan Quraish. Quraish dari keturunan Arab. Arab dari keturunan Nabi Ismail bin Ibrahim Al-Khalil, ke atas mereka berdua dan ke atas Nabi kita sebaik-baik selawat dan salam. Nabi s.a.w hidup selama 63 tahun, 40 tahun sebelum dibangkitkan menjadi nabi dan 23 tahun selepas menjadi nabi dan rasul.

2. Membenarkan semua khabar yang dibawanya, melaksanakan semua suruhannya serta menjauhi semua perkara yang dilarang dan ditegahnya, tidak menyembah Allah kecuali dengan menurut ajaran yang disyariatkannya.

3. Beriktikad bahawa Baginda s.a.w telah diutuskan oleh Allah untuk semua jin dan manusia, tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang dikecualikan daripada mengikutinya. Firman Allah Taala: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semua”. (Surah Al-A’raf, Ayat 158).

4. Beriman dengan risalahnya dan Baginda s.a.w adalah nabi yang paling afdhal dan nabi yang terakhir. Firman Allah Taala: “Tetapi dia adalah Rasulullah dan kesudahan segala nabi-nabi”. (Surah Al-Ahzab, Ayat 40).

Baginda adalah “khalil” (kekasih) Tuhan Ar-Rahman, penghulu sekalian anak Adam, Nabi yang diberi kuasa syafaat yang besar (pada Hari Kiamat) yang mempunyai darjat yang tinggi di dalam syurga, Nabi yang mempunyai kolam yang didatangi oleh seluruh umat dan umatnya adalah sebaik-baik umat. Firman Allah Taala: “Kamu (wahai umat Muhammad s.a.w.) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia”. (Surah Ali ‘Imran, Ayat 110).

Penghuni syurga yang paling ramai adalah dari kalangan umatnya, risalah (ajaran)nya memansuhkan semua risalah-risalah yang terdahulu.

5. Allah Taala telah menguatkan risalahnya dengan mukjizat yang besar serta tanda-tanda yang jelas iaitu Al-Quran, kalam Allah yang terpelihara daripada sebarang perubahan dan penyelewengan.

Firman Allah Taala: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”. (Surah Al-Isra’, Ayat 88).

Firman Allah Taala: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah Al-Hijr, Ayat 9).

6. Beriman bahawa Rasulullah s.a.w telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah dan menasihati ummah, tidak ada suatu kebaikan kecuali ditunjukkan kepada umatnya dan menggalakkan mereka melakukannya, tidak ada suatu kejahatan kecuali ditegah umatnya daripada melakukannya dan menjauhkan mereka daripadanya.

Firman Allah Taala: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas kasihan serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”. (Surah At-Taubah, Ayat 128).

Sabda Nabi s.a.w:

ما من نبي بعثه الله في أمة قبلي إلا كان حقاً عليه أن يدل أمته على خير ما يعلمه لهم، ويحذر أمته من شر ما يعلمه لهم . [ رواه مسلم ]

“Tidak ada seorang Nabi yang diutuskan oleh Allah kepada umat yang terdahulu melainkan menjadi tangunggjawab ke atasnya untuk menunjukkan umatnya ke arah kebaikan yang diberitahu kepada mereka dan memberi amaran kepada umatnya daripada melakukan kejahatan yang telah diberitahu kepada mereka”. (Hadith Riwayat Muslim).

7. Cintakan Nabi s.a.w: Mendahulukan mahabbah (cinta dan kasihnya) kepada Rasulullah s.a.w lebih daripada kasihkan dirinya sendiri dan semua makhluk, memuliakannya, menghormati dan mentaatinya, kerana semua ini adalah merupakan hak Nabi ke atas umatnya yang telah diwajibkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, kerana cinta dan kasih kepada Nabi s.a.w merupakan cinta dan kasih kepada Allah dan mentaatinya merupakan ketaatan kepada Allah.

Firman Allah Taala: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah Ali ‘Imran, Ayat 31)

Sabda Nabi s.a.w.

لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من ولده ووالده والناس أجمعين [ متفق عليه ]

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi diriku lebih daripada dia mengasihi anaknya, bapanya dan manusia seluruhnya”. (Muttafaq ‘Alaih: Al-Bukhari dan Muslim).

8. Mengucapkan selawat dan salam ke atas Nabi s.a.w serta memperbanyakkannya kerana orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama Nabi s.aw dia tidak mengucap salam ke atasnya. Firman Allah Taala: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya”. (Surah Al-Ahzab, Ayat 56). Sabda Nabi s.a.w:

من صلى عليّ واحدة، صلّى الله عليه بها عشراً . [ رواه مسلم ]

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”. (Hadith Riwayat Muslim)

Selawat sangat dituntut (setengahnya wajib) pada beberapa tempat, antaranya: Dalam tasyahhud ketika solat, qunut, solat jenazah, khutbah Jumaat, selepas azan, ketika memasuki masjid dan ketika keluar daripadanya, ketika berdoa, ketika disebut nama Nabi s.a.w. dan beberapa tempat yang lain.

9. Nabi s.a.w dan semua para nabi a.s.  hidup di sisi Tuhan mereka sebagai kehidupan di alam barzakh, lebih sempurna dan lebih tinggi daripada kehidupan para syuhada (orang yang mati syahid), namun kehidupan mereka bukan seperti kehidupan di dunia, ia merupakan suatu kehidupan yang kita tidak mengetahui kaifiat (bentuk)nya, oleh itu perkataan mati (wafat) tetap disandarkan kepada mereka. Sabda Nabi s.a.w:

إن الله حرم على الأرض أن تأكل أجساد الأنبياء . [ رواه أبو داود والنسائي ]

“Allah Taala mengharamkan ke atas bumi daripada memakan jasad para nabi a.s. (Hadith Riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i).

Dan sabdanya:

ما من مسلم يسلم عليّ إلا رد الله علي روحي كي أرد عليه السلام . [ رواه أبو داود ].

“Tidak ada seorang muslim yang mengucap salam ke atasku kecuali Allah Taala mengembalikan roh kepadaku supaya aku menjawab salam”. (Hadith Riwayat Abu Daud).

10. Antara tanda menghormati Nabi s.a.w ialah tidak mengangkat suara ketika bersamanya semasa hayatnya, demikian juga ketika memberi salam kepadanya di kuburnya. Firman Allah Taala: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana sebahagian kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan sebahagian yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak terhapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya”. (Surah Al-Ahzab, Ayat 2).

Kehormatan Baginda s.a.w. selepas wafat sama seperti kehormatan semasa hidupnya, maka kita wajib menghormati Baginda sebagaimana generasi pertama (Sahabat) telah melakukannya – semoga Allah meredhai mereka semua – kerana mereka benar-benar mengikuti semua ajaran Rasulullah s.a.w dan amat jauh daripada menyalahi ajarannya atau mereka-reka ajaran yang tidak ada dalam agama Allah.

11. Mencintai Sahabat-sahabat Nabi r.hum, ahli keluarganya dan isteri-isteri Baginda. Menyokong (mempertahankan) mereka semuanya, berhati-hati daripada memperkecilkan kedudukan mereka, mencela atau membuat tuduhan jahat terhadap mereka, kerana Allah Taala telah meredhai mereka semua dan memilih mereka menjadi Sahabat Nabi s.a.w. dan mewajibkan ke atas umat ini menyokong dan membela mereka. Firman Allah Taala: “Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari kalangan orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar” dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha terhadap mereka dan mereka pula redha terhadap-Nya”. (Surah At-Taubah, Ayat 100).

Sabda Nabi s.a.w:

لا تسبوا أصحابي، فوالذي نفسي بيده لو أنفق أحدكم مثل أحد ذهباً ما بلغ مد أحدهم ولا نصيفه . [ رواه البخاري ]

“Jangan sekali-kali kamu mencela Sahabat-sahabatku, demi Tuhan yang diriku berada di tangan-Nya, walaupun kamu memberi nafkah emas sebesar Bukit Uhud nescaya tidak sama dengan nafkah yang mereka berikan secupak atau setengahnya”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari).

Allah Taala telah menggalakkan orang-orang yang datang selepas mereka agar beristighfar (meminta ampun) untuk mereka dan memohon daripada Allah agar tidak menjadikan dalam hati mereka perasaan yang tidak baik terhadap orang-orang beriman.

Firman Allah Taala: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu”. (Surah Al-Hasyr, Ayat 10)

12. Jauhi daripada bersikap melampau (“ghuluw”) terhadap Nabi s.a.w, sikap yang sedemikian boleh menyakiti Baginda s.a.w kerana Baginda telah memberi amaran kepada umatnya daripada bersikap melampau terhadapnya dan berlebih-lebihan dalam memuji dan memujanya dengan meletakkan martabatnya lebih tinggi daripada martabat yang Allah Taala berikan kepadanya, martabat yang hanya layak bagi Tuhan Pencipta Azzajawalla. Sabda Nabi s.a.w:

إنما أنا عبد فقولوا عبد الله ورسوله، لا أحب أن ترفعوني فوق منزلتي

“Sesungguhnya aku adalah seorang hamba, maka ucaplah: Hamba Allah dan rasul-Nya. Aku tidak suka kamu mengangkatku lebih daripada darjat yang Allah berikan kepadaku”.

Sabda Nabi s.a.w.:

لا تطروني كما أطرت النصارى ابن مريم . [ رواه البخاري ].

“Jangan kamu bersikap melampaui (memujiku) sebagaimana orang-orang Nasrani melakukannya terhadap ‘Isa ibni Maryam”. (Hadith Riwayat Al-Bukhari).

Tidak boleh berdoa meminta sesuatu daripada Nabi s.a.w atau memohon bantuan dengannya (selepas Nabi wafat). Tidak boleh melakukan tawaf mengelilingi kuburnya, bernazar atau mengorbankan haiwan untuknya kerana semua perbuatan tersebut membawa kepada syirik (menyengutukan) Allah, sedangkan Allah Taala telah menegah daripada melakukan sebarang ibadat kepada selain daripada-Nya. Sebaliknya pula sesiapa yang tidak menghormati Nabi s.a.w, ada perasaan benci kepadanya, memperlekehkannya, memandang hina kepadanya atau mempermain-mainkannya, akan membawanya kepada “riddah” (murtad) daripada Islam dan kufur kepada Allah. Firman Allah Taala: “Katakanlah: Patutkah dengan nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman”. (Surah At-Taubah, Ayat 66).

Cinta sebenar kepada Rasulullah s.a.w ialah dengan mengikut petunjuk yang dibawanya dan melaksanakan Sunnahnya serta meninggalkan semua perkara yang menyalahi ajarannya s.a.w. Firman Allah Taala: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah Ali ‘Imran, Ayat 31).

Kita wajib bersifat sederhana dalam menghormati dan memuliakan Rasulullah s.a.w, tidak melampaui batas dan tidak pula merendahkan martabatnya, jangan sekali-kali menjadikannya bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan (“uluhiyyah”) dan jangan pula mengurangkan haknya dan pangkat ketinggian yang Allah berikan kepadanya, kita wajib mencintai dan mengasihinya dengan mengikuti syariat yang dibawanya dan beramal di atas landasan petunjuknya dan menuruti jejak langkahnya s.a.w.

13. Beriman dengan Nabi s.a.w tidak terlaksana kecuali dengan membenarkannya dan beramal dengan semua ajaran yang dibawanya. Inilah makna taat kepadanya s.a.w, kerana taat kepada perintahnya bererti taat kepada Allah dan menderhakainya bermakna menderhakai Allah Taala. Oleh itu dengan terlaksananya kebenaran dan ketaatan kepadanya maka terlaksanalah iman kepada Baginda s.a.w.

*****

Ekstraks dari buku “Rukun Iman” terbitan Jabatan Kajian Ilmiah, Universiti Islam Madinah, alih bahasa oleh Dr Abdul Basit Bin Abdul Rahman dengan sedikit suntingan dan saringan oleh Kumpulan Web Darulkautsar

BACAAN LANJUT – Perbincangan Tentang Nabi-nabi Dari Kitab Sahih al-Bukhari

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s